Mengenai ABPBH 34

#KITABERSAMA

Anjuran BH, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) adalah anugerah pilihan peminat yang diadakan setiap tahun sejak 1987. Ketika itu, acara ini dikenali sebagai Anugerah Penyanyi dan Pelakon Popular 1987 (APPP87) - Nescafe Classic. Hanya tujuh kategori dipertandingkan ketika itu, iaitu Pelakon Lelaki Popular, Pelakon Wanita Popular, Pelakon Pembantu Lelaki Popular, Pelakon Pembantu Wanita Popular, Penyanyi Lelaki Popular, Penyanyi Wanita Popular dan Penyanyi Berkumpulan Popular. Penganjur memperkenalkan kategori Artis Paling Popular sejak tahun 1990 yang kini menjadi Anugerah Bintang Paling Popular.

Bertahan selama 34 tahun, ABPBH menjadi antara anugerah paling konsisten apabila dianjurkan setiap tahun. Sesuai dengan peredaran semasa, pihak penganjur memperkenalkan sistem undian secara online 100 peratus di laman web ABPBH bermula pada tahun 2017 berbanding pengundian melalui akhbar BH dan SMS pada tahun-tahun sebelumnya

ABPBH bertujuan memberi pengiktirafan kepada penggiat seni tanah air, selain memberi peluang kepada pembaca BH dan pengikut setia ABPBH memilih artis popular serta menyertai aktiviti dan promosi acara anugerah ini. Paling hangat, pastinya malam kemuncak ABPBH yang akan menobatkan Bintang Paling Popular dan memberi penghormatan kepada seniman yang menerima trofi Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat.

Pencalonan terbuka kepada penggiat seni merangkumi personaliti, selebriti, pelakon dan penyanyi yang terbabit secara aktif dan konsisten dalam bidang masing-masing. Calon, iaitu individu, gandingan atau berkumpulan mengikut kategori tersenarai, mestilah menghasilkan sekurang-kurangnya satu (1) produk yang diterbitkan sepanjang tempoh Januari 2020 hingga Disember 2020 untuk dinilai Jawatankuasa Penjurian ABPBH 34.

BERITA TERKINI