BERITA ABPBH

Kodi Rasheed tegur orang luar jangan campuri isu rumah tangga Que Haidar

17 Apr 2026 | A’qilah Riduan

KUALA LUMPUR: Pelakon, Kodi Rasheed meminta orang ramai agar tidak mencampuri urusan peribadi aktor Que Haidar yang kini menjadi perhatian susulan isu rumah tangga yang hangat diperkatakan.

Kodi atau nama penuhnya Muhammad Shazmeer Mohd Rasheed, 35, menegaskan pihak luar tidak wajar membuat spekulasi atau melontarkan pandangan tanpa mengetahui situasi sebenar.

"Cuma apa yang saya boleh katakan, orang luar atau sesiapa pun tidak perlulah masuk campur.

"Biarlah mereka selesaikan sendiri. Tak perlu ada sindiran atau hasutan kerana kita tidak tahu perkara sebenar. Insya-Allah akan ada yang baik untuk mereka," katanya ketika ditemui pada Malam Gala dan Tayangan Perdana filem Libang Libu di GSC Mid Valley Megamall, di sini, semalam.

Kodi yang pernah menuntut ilmu lakonan daripada Que mendedahkan dia ada berhubung dengan gurunya itu, namun menegaskan komunikasi tersebut hanya sekadar bertanya khabar.

"Saya ada berhubung dengan dia sebab dia cikgu saya. Mestilah saya tanya keadaan dia okay atau tidak.

"Saya juga ada pelawa dia menonton filem terbaharu saya, Libang Libu, selain bertanya mengenai promosi filem Malaikat Malam. Itu sahaja.

"Bertanya khabar itu perkara biasa. Saya memang akan hubungi dia, mungkin dua atau tiga kali seminggu. Dia okay, Alhamdulillah. Saya tak mahu masuk campur kerana kedua-duanya adalah guru saya," katanya.

Mengulas sokongan yang diterima Que daripada rakan artis dan netizen, Kodi menyifatkan ia sebagai tanda penghargaan terhadap kebaikan yang pernah dilakukan aktor itu sebelum ini.

"Ramai yang sayangkan dia, itu sesuatu yang baik. Pada saya, apa yang dia lakukan sebelum ini, inilah balasannya sekarang.

"Cuma apabila perkara ini berlaku, saya tetap rasa sedih. Malah ketika mereka bercerai dulu pun saya sedih kerana mereka pasangan yang sangat serasi," katanya.

Dalam masa sama, Kodi menegaskan dia memilih untuk tidak mencampuri urusan peribadi sebaliknya hanya memberi sokongan moral.

"Tapi untuk bertanya lebih-lebih, nanti nampak seperti mencampuri hal orang.

"Jadi saya hanya mampu beri sokongan dan berharap ada hikmah di sebalik semua ini," katanya.

Sebelum ini, isu perceraian antara Que dan Linda Jasmine kembali menjadi perhatian selepas Linda mendakwa perpisahan mereka berlaku demi melindungi anak-anak daripada perkara tidak baik.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 14 Februari 2009 dan dikurniakan dua cahaya mata perempuan, Tengku Ratu Haidar, 16, dan Tengku Cleopatra Haidar, 13, sebelum berpisah pada 2 Julai 2024.

Linda juga memiliki seorang anak lelaki, Qalif Khan, 24, hasil perkahwinan terdahulu.