BERITA ABPBH

Tengok siapa pengarah baru buat keputusan - Shaheizy Sam

14 Jun 2026 | Affan Rostam

KUALA LUMPUR: Menyelak portfolio lakonan yang dibukukan sejak tiga dekad lalu, aktor terkenal, Shaheizy Sam mewarnai industri perfileman tanah air dengan pelbagai karakter daripada komedi, romantik hingga aksi.

Bermula sebagai pelakon kanak-kanak pada usia 12 tahun pada 1995, Sam sudah membintangi puluhan drama dan lebih 20 filem serta meraih pelbagai anugerah termasuk Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) sebanyak tiga kali.

Biarpun sudah meraih pelbagai pencapaian, pelakon berusia 44 tahun itu menegaskan tidak pernah terlintas untuk mengundurkan diri daripada dunia lakonan.

Dek kecintaan yang mendalam terhadap bidang seni, Sam atau nama lengkap, Shaheizy Sam Abdul Samad sentiasa mencari ruang untuk terus berkarya.

"Berhenti berlakon tidak sama sekali. Lakonan sudah menjadi minat saya. Biasanya, kalau saya berehat lima atau enam bulan tanpa berlakon, saya akan mula rindu untuk kembali ke set penggambaran.

"Cuma sekarang, saya lebih memilih. Saya mencari skrip yang memberikan cabaran baharu, sesuatu yang belum pernah saya bawa sebelum ini. Apabila ada watak atau cerita berbeza, saya jadi lebih teruja untuk mencuba.

"Namun bagi saya, skrip bukan satu-satunya faktor. Apa yang lebih penting sekarang adalah tenaga kerja di belakang sesebuah naskhah, terutamanya pengarah," katanya.

Pelakon yang dikenali menerusi filem seperti Adnan Sempit, Kongsi dan Polis Evo ini berkata, penerimaan sesebuah naskhah ketika ini bergantung kepada siapa yang mengarahkannya.

"Antara perkara pertama yang saya lihat apabila terima tawaran adalah siapa pengarahnya. Jika pengarah itu bagus, boleh dikatakan 50 peratus keputusan saya untuk terima projek itu sudah dibuat.

"Selebihnya, barulah saya nilai skrip dan keseluruhan pasukan produksi. Jadi, untuk berhenti berlakon memang tidak. Perasaan rindu itu akan sentiasa ada.

"Cuma sekarang saya sudah mempelbagaikan bidang yang diceburi. Kalau diperhatikan, saya aktif berniaga dan dalam proses membuka restoran sendiri," katanya.

Mengulas mengenai perkembangan industri perfileman tempatan, Sam berharap penonton terus memberi sokongan kepada karya lokal dengan meluangkan masa menonton di pawagam.

Menurutnya, pengalaman menikmati filem di layar perak tidak boleh disamakan dengan platform penstriman di rumah.

"Pandangan saya terhadap filem sangat mudah. Harapan saya cuma satu, iaitu penonton beri peluang kepada diri mereka untuk pergi ke pawagam dan menonton skali sahaja terlebih dahulu.

"Kadang-kadang filem yang bagus akan membuatkan penonton kembali menontonnya dua atau tiga kali. Itu yang berlaku kepada beberapa filem saya sebelum ini termasuk Polis Evo.

"Kebiasaannya kutipan tinggi berlaku kerana ramai penonton datang berulang kali. Tetapi kalau kita tidak memberi peluang kepada diri sendiri untuk menonton sekali, bagaimana kita mahu tahu sama ada sesebuah filem itu bagus atau tidak?," katanya.

Sam bakal muncul dengan filem aksi terbaharu iaitu Cobra 7: Peluru Terakhir arahan Faisal Ishak. Naskhah itu turut menampilkan pelakon seperti Diana Danielle, Zahiril Adzim, Ahirine Ahidrudin, Amar Baharin, Hanna Aqeela dan ramai lagi.