BERITA ABPBH

PGLM kembali Tiara Jacquelina cari generasi pelapis

17 Apr 2026 | Farihad Shalla Mahmud

KUALA LUMPUR: Selepas lebih dua dekad mencipta fenomena, Penerbit Eksekutif dan Pengarah Puteri Gunung Ledang The Musical (PGLM), Puan Sri

Tiara Jacquelina kembali menghidupkan legenda ikonik berkenaan dengan membuka sesi uji bakat rasmi bagi mencari barisan pelakon generasi baharu.

Lebih daripada sekadar produksi teater, peluang ini dilihat sebagai ruang untuk bakat muda melangkah ke pentas besar dan menjadi sebahagian daripada karya ikonik yang pernah mencuri hati penonton.

Tiara berkata, pencarian kali ini menuntut penghibur yang bukan sahaja memiliki keupayaan lakonan, nyanyian dan pergerakan, tetapi juga kejujuran emosi serta kecintaan terhadap seni penceritaan.

Watak utama seperti Puteri Gunung Ledang, Hang Tuah, Sultan, Adipati dan Bayan antara peranan yang menanti untuk dihidupkan semula dengan nafas baharu.

Menurut Tiara, Puteri Gunung Ledang mempunyai nilai sentimental yang sangat mendalam dalam hidupnya.

"Bagi saya, ini tidak pernah sekadar filem atau muzikal.Ia adalah antara perjalanan kreatif paling bermakna dalam hidup saya. Sejak 2004, saya membawa kisah ini bersama saya, bersama kenangan yang sangat indah.

"Alhamdulillah, ia sentiasa hidup dalam hati saya," katanya.

Tiara mengakui hatinya tersentuh melihat keterujaan orang ramai yang kembali menyambut karya tersebut.

"Apabila melihat semula semua kasih sayang dan keterujaan ini, saya benar-benar terharu.

"Seperti sesuatu yang lama tersimpan dalam hati kita, kini perlahan-lahan hidup kembali," katanya.

Baginya, pementasan baharu ini bukan sekadar mengimbau nostalgia, tetapi memberi ruang kepada generasi baharu untuk mencorakkan identiti sendiri.

"Ini bukan hanya tentang menghidupkan semula karya yang dicintai, tetapi membuka ruang untuk generasi baharu masuk ke dunia ini dan menjadikannya milik mereka," katanya.

Tiara turut meluahkan keterujaan untuk melihat bakat baharu yang bakal muncul.

"Saya sangat teruja untuk melihat siapa yang akan tampil.

"Mereka inilah yang akan membawa kisah ini ke era seterusnya," katanya.

Tiara menegaskan peluang untuk terlibat dalam produksi sebesar ini bukan sesuatu yang datang selalu.

"Sesi uji bakat kini dibuka dan saya berharap kita akan menemui bakat luar biasa.

"Peluang untuk menjadi sebahagian daripada Puteri Gunung Ledang mungkin hanya datang sekali seumur hidup," katanya.

Maklumat penuh uji bakat boleh didapati menerusi akaun @pglthemusical di semua platform media sosial.

Puteri Gunung Ledang bermula sebagai filem epik sebelum berkembang menjadi muzikal yang mencipta fenomena dengan lebih 100,000 penonton di Malaysia dan Singapura.

Karya ini bukan sahaja meraih pelbagai anugerah, malah kekal sebagai antara produksi teater paling diingati dan disayangi sehingga hari ini.

Pementasan baharu ini menandakan permulaan babak baharu, dengan harapan legenda ini terus hidup melalui suara dan jiwa generasi seterusnya.