PETALING JAYA: Personaliti media sosial dan pelakon, Alieff Irfan, 29, terus mengorak langkah dalam industri hiburan apabila diberi peluang membintangi filem terbaharu, Jangkar, terbitan Metrowealth (MIG).
Menurut Alieff, keputusan menceburi bidang lakonan dibuat bagi menimba pengalaman baharu, selain mengembangkan kerjaya seni tanpa mengabaikan identitinya sebagai pencipta kandungan di YouTube.
"Misi saya untuk 2026 bukan hanya fokus kepada YouTube, tetapi mahu mengembangkan kerjaya dalam industri hiburan, termasuk lagu dan filem. Sebab itu saya cuba berlakon dalam Jangkar.
"Ini filem kedua saya. Saya rasa sudah lama kembangkan kerjaya di YouTube, tetapi bukan bermakna platform itu tidak berkembang. Alhamdulillah, semuanya masih baik.
"Cuma saya rasa ada sesuatu yang tidak lengkap dalam hidup jika tidak mencuba bidang ini. YouTube lebih kepada penghasilan kandungan, berbeza dengan perfileman," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis doa selamat filem Jangkar di Ibu Pejabat Metrowealth (MIG), di sini, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Alieff menegaskan YouTube kekal sebagai keutamaan dalam kerjayanya, malah menyifatkan platform itu sebagai 'cinta pertama' yang sukar ditinggalkan.
"YouTube bukan sekadar sumber pendapatan. Jika perlu memilih antara bisnes lain dengan YouTube, saya tetap akan pilih YouTube.
"Saya juga akan menilai tawaran lakonan kerana perlu menguruskan YouTube sebagai kerja utama. Saya ada pasukan sendiri, jadi tidak boleh fokus sepenuhnya kepada lakonan," katanya.
Mengulas persepsi bahawa pencipta kandungan kurang mahir berlakon, Alieff mengakui tanggapan itu ada benarnya, namun menegaskan dirinya sudah mempunyai asas dalam bidang berkenaan.
"Saya bermula di YouTube dengan menghasilkan filem pendek hampir lima tahun. Kami buat sendiri, terbit sendiri, arah sendiri dan berlakon sendiri.
"Mungkin sebab itu lakonan sudah sebati dengan jiwa saya. Saya juga sentiasa berlatih, jadi tidaklah terlalu kaku seperti yang diperkatakan," katanya.
Dalam pada itu, Alieff turut menekankan kepentingan disiplin dan sikap hormat terhadap penggiat seni yang lebih berpengalaman.
"Kalau artis lama datang awal, tidak mungkin kita yang baharu datang lambat.
"Bagi saya, orang lama juga memainkan peranan penting sebagai contoh kepada generasi baharu," katanya.
Alieff bakal tampil dalam filem epik sejarah Jangkar arahan Jason Chong yang sudah pun memulakan penggambaran pada 7 April lalu.
Dalam filem berkenaan, beliau memegang watak sebagai anggota komando bernama Hambali.