BERITA ABPBH

Julia Farhana hormat suami enggan buka cerita rumah tangga

17 Apr 2026 | Serimah Mohd Sallehuddin

KUALA LUMPUR: Pelakon, Julia Farhana Marin memilih untuk tidak mengulas lanjut mengenai spekulasi rumah tangganya bersama suami, Dr Che Hafiz, yang didakwa sedang bergolak termasuk isu tidak beraya bersama serta saling tidak mengikuti di media sosial.

Julia, bagaimanapun berkata dia hanya akur dengan kenyataan yang telah diberikan oleh suaminya kepada media sebelum ini.

Menurut Julia, dia enggan mengulas lanjut demi menghormati pihak suami dan keluarga mentua.

Julia berkata, kesibukan jadual penggambaran menyebabkan dia tidak mempunyai ruang untuk memikirkan mengenai spekulasi yang timbul.

"Sebenarnya saya tengah 'shooting' dan set penggambaran pula jauh. Setiap hari 'call time' awal pagi dan habis pula lewat malam, kadang-kadang sampai selepas tengah malam.

"Jadi untuk saya dan pembantu peribadi memandu balik itu bahaya, terutama kami dua orang perempuan. Nak kata spekulasi itu keluar dari mana, saya pun tak pasti," katanya dalam temu bual bersama program Melodi di TV3, malam tadi.

Dalam masa sama, Julia mengakui dia lebih selesa untuk tidak berkongsi hal rumah tangga kepada umum demi menjaga keharmonian keluarga.

"Kalau boleh saya tak nak cerita apa-apa pun mengenai saya dengan suami. Apa-apa yang berlaku sepatutnya kekal dalam keluarga," katanya.

Mengulas dakwaan tidak beraya bersama serta tindakan saling 'unfollow' di Instagram, Julia memilih untuk menghormati kenyataan yang dibuat suaminya sebelum ini.

"Sebab suami saya sudah buat kenyataan dulu secara terbuka, jadi saya tak mahu jawab apa-apa pasal raya.

"Saya nak hormat suami, ibu dan bapa mentua saya. Apa yang suami saya cakap, itulah dia," katanya.

Julia turut menegaskan dia sejak dahulu tidak pernah berkongsi hal peribadi di media sosial atau kepada pihak media.

"Daripada dulu lagi saya memang takkan kongsi apa-apa cerita peribadi. Sama ada positif atau negatif, ia boleh menimbulkan spekulasi dan jadi lebih besar.

"Saya juga rasa kurang selesa bila suami tak ada di sisi untuk bercerita kerana boleh jadi salah faham.

"Saya perlu berhati-hati kerana saya ada keluarga yang perlu dijaga. Ini bukan hanya tentang saya dan saya sangat hormat suami saya," katanya.

Menyentuh kenyataan yang dikeluarkan suaminya sebelum ini, Julia mengakui dia tidak mengetahui perkara itu secara terperinci.

"Saya pun terkejut sebenarnya ada kenyataan daripada pihak dia. Tapi dari pihak saya, saya memang tak nak keluarkan apa-apa dan tak boleh jawab kerana tidak menonton temu bual itu.

"Saya cuma fokus kerja di set. Saya pun tak pasti macam mana semua ini boleh tercetus kerana saya sendiri tidak buat sebarang hantaran semasa raya.

"Saya harap orang ramai doakan yang baik-baik saja," katanya.

Julia mendirikan rumah tangga bersama Dr Che Hafiz pada 14 Disember 2022.

Che Hafiz sebelum ini pernah berkahwin dengan pelakon Lufya dan mempunyai seorang anak perempuan, Laana Haura, 8 tahun. Pasangan itu bagaimanapun bercerai pada 17 Jun 2020.