Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 35

Undi selebriti pilihan anda mengikut kategori ABPBH yang telah dipertandingkan pada tahun ini

BERITA ABPBH

Yem tanya emak - bekas suami Nad Zainal

24 Nov 2022 | Fatin Farhana Ariffin

AMPANG: Bekas suami Nad Zainal, iaitu Faliq Amiruddin, 34, mengesahkan aktres itu yang dirawat di sebuah pusat perubatan, di sini akibat pendarahan paru-paru, mula menunjukkan perkembangan positif.

Faliq yang ditemui media di pusat perubatan itu, memohon doa orang ramai agar bekas isterinya segera sembuh.

"Keadaan Nad bertambah baik dari semalam. Doktor juga maklumkan ada penambahbaikan (dalam proses rawatan). Apa-apa pun, kita tidak boleh selesa sangat... Kita masih perlu berdoa untuk Nad.

Anak sulung Nad, Fahad Ibrahim atau dipanggil Yem bertanya mengenai keadaan ibunya daripada bapa, Faliq. Foto IG Nad Zainal
Anak sulung Nad, Fahad Ibrahim atau dipanggil Yem bertanya mengenai keadaan ibunya daripada bapa, Faliq. Foto IG Nad Zainal

"Saya dimaklumkan Nad diperiksa tujuh doktor. Hari ini, akan ada doktor baharu yang memeriksa Nad.

"Alhamdulillah, pendarahan dalam paru-paru dan perut sudah dapat dikurangkan," katanya di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Faliq berkata, doktor belum mengenal pasti punca pendarahan dalam paru-paru Nad.

Sebelum ini, Nad dilaporkan kritikal dan ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) di sebuah pusat perubatan di sini, sejak Isnin lalu.

Faliq berkata, dua anak hasil perkahwinan bersama Nad iaitu Fahad Ibrahim yang berumur enam tahun dan Budi Kalsom, berusia setahun, masing-masing berada dalam keadaan yang baik.

"Mereka bersama saya malam tadi. Pagi tadi, saya tinggalkan mereka sekejap untuk ke sini.

"Yem (anak sulung) ada bertanya mengenai emaknya. Saya tenangkan dia... Alhamdulillah, semuanya terkawal," katanya.

Sementara itu, Faliq menghargai usaha teman-teman yang menganjurkan bacaan Yasin dan mendoakan Nad segera sembuh.

"Terima kasih... Saya dengar ada kawan-kawan Nad yang baca Yasin. Saya ucapkan banyak-banyak terima kasih.

"Saya mohon sahabat dan peminat doa yang baik-baik untuk Nad. Sama-sama kita bagi dia semangat agar terus kuat," katanya.

Selain ahli keluarga Nad, rakan-rakan artis seperti Eida Moin dan Zarynn Min turut berada di pusat perubatan ini untuk melawat pelakon itu.

September lalu, Nad mengesahkan sudah bercerai dengan Faliq selepas mendirikan rumah tangga pada 18 Disember 2015.