PETALING JAYA: Pelakon, Yasmin Hani mengakui agak kekok pada awalnya apabila perlu bergandingan dengan bekas adik iparnya, Qi Razali, apatah lagi membawakan watak suami dan isteri dalam filem Pemuja.
Bagaimanapun, Yasmin atau nama sebenarnya Yasmin Hani Ismail Richardson, berkata mereka tidak membincangkan perkara itu secara jelas dan cuba mengetepikan rasa kekok supaya nampak profesional di hadapan kamera.
"Bekas suami saya, Sha'arin, adalah abang sulung kepada Qi. Saya pernah berlakon dengan dia sebelum ini, jadi bukan kali pertama menerusi filem Pemuja.
"Sebelum ini kami membawakan watak suami isteri, malah ada adegan bersanding di atas pelamin. Memang agak keras ketika itu, anak-anak saya tengok pun mereka tegur.

"Saya akui memang pada awalnya ada sedikit perasaan kekok, tapi saya tak layan. Bila rasa kekok, saya terus buang. Lagipun saya kenal Qi dulu sebelum saya kenal Sha'arin. Qi adalah kawan saya, jadi saya kenal keluarganya dulu sebelum saya kenal Sha'arin. Sha'arin adalah ahli keluarga terakhir yang saya kenal, tapi akhirnya dia jadi suami," katanya ketika ditemui pada majlis tayangan filem Pemuja, di sini, baru-baru ini.
Meskipun ada babak mempamerkan keintiman sebagai suami isteri, Yasmin berkata mereka tetap melakukannya secara profesional.
"Babak baring dalam filem ini, kami baring saja. Kita buat apa yang diminta, tapi tiada apa pun. Babak menampar dia pun saya buat 'real', dia ada mengadu sakit, tapi kita profesional," katanya.
Yasmin dan Sha'arin, bekas pemain dram kumpulan Blackrose, mendirikan rumah tangga pada 2015 dan dikurniakan dua cahaya mata. Mereka sah bercerai pada Disember 2021.
Berkongsi pengalaman penggambaran filem seram, Yasmin berkata dia memilih untuk tidak membuka ruang kepada perkara mistik walaupun pernah mengalami kejadian aneh sebelum ini.
"Saya tak nafikan kewujudan benda-benda itu, tapi saya tak buka ruang. Saya datang seorang, balik pun seorang. Alhamdulillah, tak ada gangguan. Saya memang tak nak percaya.
"Bukan tak nak percaya ia wujud, tapi saya tak nak buka ruang untuk benda itu datang. Saya pernah kena dulu, jadi saya tak nak ia berulang," katanya.
Yasmin berkata, dia perlu banyak menghayati emosi seorang ibu yang kehilangan anak, yang agak mencabar.
"Bila baca skrip, terus menangis sebab kes itu memang pernah berlaku. Bayangkan kalau ia terjadi pada anak sendiri," katanya.
Selain itu, Yasmin turut mendedahkan kebanyakan adegan aksi dan lasak dilakukan sendiri tanpa bantuan pelakon lagak ngeri.
Menerusi karya itu, Yasmin membawa watak Qistina, isteri kepada Aqil (Qi Razali). Qistina adalah penulis buku kanak-kanak terkenal, manakala Aqil merupakan seorang usahawan yang sedang membina syarikat 'start-up'.
Akibat tekanan kewangan dan tragedi yang menimpa keluarga, mereka terpaksa berpindah ke rumah pusaka ayah Qistina di kampung bersama anak mereka, Laila.
Pada awalnya, semuanya nampak tenang. Aqil merasakan inilah peluang untuk membina kembali bisnesnya, sementara Qistina boleh perlahan-lahan mengubat dirinya yang mengalami tekanan. Namun, insiden demi insiden seram mula muncul di rumah itu.