BERITA ABPBH

Yasin Sulaiman terganggu nama disalah guna

25 Nov 2026 | Fatin Farhana Ariffin

KUALA LUMPUR: Tindakan pihak tidak bertanggungjawab menggunakan nama Yasin Sulaiman di media sosial sehingga menghubungi pengikutnya mencetuskan kekeliruan, sekali gus mengganggu ketenangan penyanyi dan komposer itu.

Yasin berkata, dia menyedari kewujudan akaun Instagram yang menggunakan nama seakan-akan namanya pagi tadi sebelum mengambil tindakan segera membuat penjelasan bagi mengelakkan salah faham.

Bagaimanapun, Yasin memilih untuk tidak terlalu memikirkan perkara itu dan menerima apa yang berlaku dengan hati terbuka, meskipun mengakui sedikit terganggu dengan tindakan individu terbabit.

"Saya baru perasan pagi tadi ada akaun menggunakan nama Yasin Sulalman dan tengok ramai yang melaporkannya. Jadi, kalau ramai buat laporan, maknanya akaun itu akan dipadam dan akaun itu sudah dipadam. Akaun itu sudah tiada lagi. Syukur.

"Agak terganggu juga melihat tindakan individu itu kerana dia menghantar mesej kepada semua pengikut saya. Semua orang ingat, 'Eh, ini Yasin buka akaun baharu ke?'

"Jadi, saya terus membuat hantaran untuk menjelaskan bahawa akaun itu bukan milik saya," katanya.

Yasin ditemui pada sidang media Konsert Lagenda Nasyid Malaysia di Rabbani Event Hall, di sini, petang tadi.

Terdahulu, sebuah akaun Instagram menggunakan nama Yasln Sulalman, yang hampir menyerupai namanya, dikesan menghubungi pengikut penyanyi itu.

Yasin berkata, dia memilih untuk melihat perkara berkenaan dari sudut positif dan tidak mahu terlalu terkesan dengan cabaran yang berlaku.

Katanya, penjelasan perlu dibuat segera bagi mengelakkan pihak terbabit mengambil kesempatan lebih jauh, terutama dalam situasi penipuan dan penyalahgunaan identiti yang semakin membimbangkan.

"Saya terima semua benda positif saja. Sekarang ini kalau ada apa-apa cabaran, saya ambil mudah saja. Tidak adalah sampai nak terasa pun.

"Cuma penerangan itu perlulah dibuat dengan cepat kerana takut nanti ada perkara lain berlaku. Zaman sekarang banyak penipuan, scammer dan kes curi identiti. Kadang-kadang mungkin dia nak kenakan kita. Macam-macamlah," katanya.

Dalam perkembangan lain, Yasin turut mengulas mengenai perbandingan wajahnya dengan vokalis kumpulan rock Amerika Syarikat, My Chemical Romance, Gerard Way.

Yasin berkata, dia tidak menyedari perbandingan itu sehingga melihat sendiri komen pengguna media sosial yang menganggap wajahnya mirip penyanyi berkenaan.

"Saya tak tahu sangat mengenai kumpulan itu dan baru hari ini tiba-tiba saya tengok kenapa ramai sangat cakap muka saya macam vokalis My Chemical Romance.

"Saya pernah nampak penyanyi ini. Saya tak rasa pun dia muka macam saya, tetapi di Threads ramai betul kata macam itu, jadi saya buat hantaran di Threads. Tidaklah sama sebenarnya.

"Saya rasa individu yang buat hantaran kata wajah kami sama itu pun melawak saja. Saya okay saja," katanya.

Sementara itu, Yasin bersama kumpulan Brothers bakal menjayakan Konsert Lagenda Nasyid Malaysia yang menghimpunkan sembilan kumpulan nasyid bagi meraikan perjalanan serta sumbangan genre muzik itu sepanjang tiga dekad di Malaysia.

Konsert berkenaan turut menampilkan Raihan, Rabbani, Hijjaz, Brothers, Saujana, Inteam, UNIC, Aeydan dan NowSeeHeart.

Konsert Lagenda Nasyid Malaysia dijadual berlangsung pada 29 Mei depan di Setia City Convention Centre (SCCC), Setia City, Selangor.