KUALA LUMPUR: Demi memastikan penggambaran filem Takdir Terakhir: Last Dive berjalan lancar, penerbit merangkap pengarahnya, Datin Dr Wendy Wong sanggup mempelajari selaman skuba meskipun tidak pernah mempunyai pengalaman dalam aktiviti itu sebelum ini.
Bukan sekadar mahu memahami teknik menyelam, Wendy mengambil inisiatif mengikuti kursus berkenaan bagi merasai sendiri cabaran yang dihadapi kru dan penyelam ketika menjalani penggambaran di dasar laut, selain mendalami aspek keselamatan yang perlu diberi keutamaan.
Wendy berkata, kursus selaman skuba itu lazimnya memerlukan sekurang-kurangnya lima hari, namun kekangan masa menyebabkan dia hanya berkesempatan mengikutinya selama tiga hari.
"Pada awalnya, saya ingat mereka akan membawa saya menyelam pada kedalaman tiga meter saja, rupa-rupanya tujuh meter. Memang takut sangat," katanya ketika ditemui pada majlis sidang media filem berkenaan di sini, baru-baru ini.
Menurut Wendy yang sudah 28 tahun berkecimpung dalam industri seni, pengalaman itu membuka matanya terhadap kerumitan menghasilkan babak di dalam air, lebih-lebih lagi apabila produksi turut membabitkan lima pelakon orang kurang upaya (OKU).
Katanya, sebagai penerbit, pengetahuan mengenai prosedur selaman penting supaya pihak produksi dapat memahami kekangan yang dihadapi kru, khususnya berkaitan tempoh rehat dan keselamatan penyelam.
"Kalau kita tidak memahami peraturan, sebagai penerbit mungkin kita tertanya-tanya mengapa kru tidak boleh meneruskan penggambaran sebaik saja naik ke permukaan.
"Rupa-rupanya, bekalan oksigen dalam tangki terhad dan penyelam perlu berehat terlebih dahulu sebelum dibenarkan turun semula.
"Banyak juga perkara perlu diberi perhatian apabila membabitkan golongan OKU. Antaranya, hotel yang sudah ditempah terpaksa ditukar kerana kemudahan disediakan tidak sesuai dengan keperluan mereka.
"Kami banyak belajar sepanjang penggambaran ini. Jika ada kekurangan atau kesilapan, kami memohon maaf dan akan berusaha memperbaikinya," katanya.
Mengulas cabaran produksi, Wendy berkata, penggambaran di dalam air jauh lebih rumit berbanding di darat kerana banyak faktor di luar kawalan, termasuk keadaan cuaca, kejernihan air laut dan aspek keselamatan penyelam.
Katanya, perubahan cuaca bukan sahaja boleh menjejaskan jadual penggambaran, malah keadaan air laut selepas hujan turut mempengaruhi kelancaran rakaman.
"Kalau di darat, apabila hujan kita boleh masuk ke dalam rumah dan menunggu sehingga cuaca kembali baik. Namun, keadaan di laut berbeza.
"Selepas hujan, air laut boleh menjadi keruh dan keadaan itu secara tidak langsung menjejaskan penggambaran," katanya.
Dalam pada itu, Wendy berharap filem berkenaan bukan sekadar menjadi platform mengetengahkan keupayaan golongan OKU, malah mampu menyemarakkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan memelihara ekosistem marin.
"Saya tidak mengatakan filem ini sempurna, tetapi saya sudah menyampaikan mesej yang ingin dibawa. Menerusi filem ini, saya juga mahu mengingatkan masyarakat bahawa kita perlu menjaga dan melindungi lautan kerana tiada apa yang mustahil," katanya.
Filem Takdir Terakhir: Last Dive terbitan Syarikat Produksi Seni Duapuluh Duapuluh Sdn Bhd itu bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 3 Disember depan.
Selain Aniq Durar, Shiqin Kamal, Amerul Affendi, Fify Azmi, Sandra Lim dan Fauziah Latiff, filem itu turut menampilkan penampilan khas Datuk Ras Adiba Radzi.