Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36

Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36

BERITA ABPBH

Watak misteri Michael Jackson dilakonkan anak saudara

19 Feb 2023 | Fatin Farhana Ariffin

KUALA LUMPUR: Jasadnya akan terus bersemadi membawa bersama segala catatan kenangan, suka duka dan pahit manis sepanjang 50 tahun riwayat hidupnya.

Michael Jackson pernah disanjung, dipuja, diasak dan ditohmah, malah maruahnya pernah diperkotak-katikkan, namun tidak sesekali mengalah kepada tekanan ketika hidupnya.

Menjelang sisa hayatnya, 'The King of Pop' itu masih membawa semangat untuk terus berdiri untuk membersihkan namanya menerusi siri konsert yang dijangka akan menggilap semula zaman kegemilangannya.

Malang, apa yang diimpikan terkubur apabila tarikh 25 Jun 2009, penyanyi jolokan Wacko Jacko itu menghembuskan nafas terakhir membawa bersama pelbagai misteri yang terus menyelubungi hidupnya.

Beliau ditemui mati di kediamannya di Los Angeles, California pada usia 50 tahun akibat serangan jantung disebabkan gabungan beberapa jenis dadah diberikan doktor peribadinya pada 25 Jun 2009.

Kini, kehidupan misterinya akan didedahkan di layar perak selepas 14 tahun pemergian legenda yang pernah menemani hidup peminat seluruh dunia menerusi lagu-lagunya.

Watak Jacko akan dilakonkan anak saudaranya, Jaafar Jackson menerusi filem biopik berjudul Michael arahan Antoine Fuqua menjadi penghargaan terbesar buatnya.

Ia lebih manis apabila pencarian menerusi uji bakat di seluruh dunia, akhirnya produser, Graham King menemui sosok tubuh yang benar-benar layak membawa karakter penghibur terkemuka dunia itu.

Jacko atau nama sebenarnya, Michael Joseph Jackson ditemui mati di kediamannya di Los Angeles, California, pada usia 50 tahun akibat serangan jantung disebabkan gabungan beberapa jenis dadah diberikan doktor peribadinya pada 25 Jun 2009.

Seperti kenyataan King, Jaafar adalah satu-satunya individu yang dilihat paling layak menggalas watak bapa saudaranya.

Jaafar adalah anak kepada abang Jacko iaitu Jermaine Jackson dan isterinya, Alejandra Genevieve Oaziaza. Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 1995 sehingga 2003. Jaafar dilahirkan pada Julai 1996.

Jermaine yang juga penerbit dan penyanyi dikenali sebagai salah seorang anggota kumpulan Jackson 5 yang turut dianggotai adik-beradiknya, Jacko, Tito, Marlon, Randy dan Jackie.

Jika diimbas semula, Jaafar aktif menyanyi dan menari sejak berusia 12 tahun dan memperlihatkan bakatnya dengan menyanyikan lagu nyanyian Sam Cooke dan Marvin Gaye.

Malah, Jaafar juga pernah tampil dengan single pertama, Got Me Singing pada 2019.

Jaafar (kanan) bersama Michael Jackson. - Foto AGENSI
Jaafar (kanan) bersama Michael Jackson. - Foto AGENSI

Jaafar juga bukan asing di layar skrin apabila pernah tampil dalam beberapa projek berkonsep keluarga iaitu menerusi program The Jacksons: Next Generation pada 2015 dan muzik video Tito Jackson berjudul Love One Another.

Bagaimanapun, biopik Michael adalah pembabitan pertama penyanyi dan penulis lagu berusia 26 tahun itu di layar perak.

Ibu Jacko, Katherine Jackson teruja apabila cucunya diberi penghargaan menghidupkan watak anaknya di skrin layar perak.

"Jaafar menghidupkan watak anak saya. Ia adalah suatu menakjubkan apabila dapat melihat Jaafar meneruskan legasi Jackson sebagai penghibur," katanya.

Selain itu, turut menyuarakan sokongan atas pemilihan Jaafar adalah anak Jackson, Prince.

"Jujurnya, saya berbangga untuk Jaafar. Dia sudah bekerja keras dan saya tahu dia akan melaksanakan tugasnya dengan cemerlang.

"Saya yakin Jaafar akan melakukan yang terbaik untuk menunjukkan kepada seluruh dunia apa yang tidak pernah dilihat mengenai mendiang bapa saya.

"Kepada peminat keluarga saya dan penyokong di luar sana, terima kasih atas sokongan berterusan dan kasih sayang anda," katanya.

Dan, Prince percaya produksi GK Films mampu menghasilkan biopik Michael dengan baik, lebih lagi, ia adalah penghargaan besar buat seluruh keluarga Jackson.

"Kita semua tahu mendiang bapa dan ayah Jaafar adalah insan menakjubkan. GK Films berdedikasi dan teruja untuk merealisasikan kisah mendiang bapa saya di layar perak.

"Projek ini memberi makna besar. Saya gembira saya dan keluarga dapat menelusuri perjalanan ini bersama," katanya yang turut berbangga dengan sepupunya, Jaafar.

Biopik Michael diarahkan oleh Fuqua dan skripnya ditulis oleh penulis skrin Gladiator dan The Aviator, John Logan.

Fuqua menyatakan Jaafar mempunyai keupayaan menghidupkan watak Jacko dan mempunyai keserasian dengan kamera.

Seterusnya, King juga melahirkan perasaan kagum dengan kelebihan dimiliki Jaafar.

"Saya bertemu Jaafar, dua tahun lalu. Saya akui terpesona dengan cara Jaafar memperlihatkan semangat dan keperibadian Jacko.

"Ia adalah sesuatu yang sangat menakjubkan selepas melakukan pencarian di seluruh dunia. Jelas, Jaafar adalah satu-satunya individu yang boleh memegang watak hebat ini.

"Jaafar umpama jelmaan bapa saudaranya dan saya tidak sabar untuk melihatnya sebagai Michael Jackson," katanya.

Jaafar (kanan) bersama bapa dan abangnya. - Foto AGENSI
Jaafar (kanan) bersama bapa dan abangnya. - Foto AGENSI

Menerusi kenyataan keluarga Jacko, tahun lalu, biopik Michael diterbitkan dengan kerjasama keluarga bertujuan mengimbas semula perjalanan hidup penyanyi yang popular menerusi lagu Billie Jean, Black or White, Bad dan Thriller itu sehingga digelar 'The King of Pop'.

Biopik Micheal ini juga dilaporkan menyusuli beberapa naskhah terbitan terdahulu seperti The Jacksons: An American Dream pada 1992 dan Man in the Mirror: The Michael Jackson Story (2004).

Mengikut laporan media antarabangsa, biopik Michael akan merangkumi segala-galanya iaitu perjalanan sebagai bintang kanak-kanak dalam The Jackson 5 kepada kerjaya muziknya yang memberi impak dan caranya menangani tuduhan penderaan seksual kanak-kanak.

Biarpun plot sebenar belum disahkan, biopik Michael dijangka menyentuh kematian tragis bintang legenda itu.

Jacko dilahirkan pada 1958 di Gary, Indiana. Anak ketujuh daripada sembilan beradik itu mula membuat persembahan bersama abang-abangnya pada usia lima tahun dalam kumpulan muzik Jackson di bawah jagaan bapa, Joe Jackson.

Album pertama, I Want You Back dihasilkan pada 1969 dengan lagu hit, I Want You Back dengan muzik irama pop-soul-R&B melonjakkan nama Jackson 5 sehingga turut membintangi siri kartun televisyen pada awal 1970-an.

Bagaimanapun, album solo Jacko iaitu 'Got to Be There' dikeluarkan pada 1972 walaupun masih menganggotai Jackson 5. Pada 1982, album ikonik, Thriller dihasilkan dengan jualan lebih 50 juta di seluruh dunia seterusnya menjadikannya album studio paling laris dalam sejarah.

Jacko pernah mengungguli 15 trofi Anugerah Grammy sepanjang hayatnya.

Jacko mendirikan rumah tangga dengan anak tunggal Elvis Presley, Lisa Marie Presley pada 1994, namun hanya bertahan selama 20 bulan.

Kemudiannya, Jacko berkahwin dengan peminat fanatiknya, Debbie Rowe pada 1996 selama tiga tahun. Mereka dikurniakan dua cahaya mata, Prince dan Paris.

Jacko juga memiliki seorang lagi anak, Blanket, hasil ibu tumpang.