Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 35

Undi selebriti pilihan anda mengikut kategori ABPBH yang telah dipertandingkan pada tahun ini

BERITA ABPBH

Watak Evelyn Wang bawa tuah - Michelle Yeoh

25 Jan 2023 | Farihad Shalla Mahmud

KUALA LUMPUR: Aktres Hollywood kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh terharu atas pencalonannya menerusi kategori Aktres Terbaik, Anugerah Akademi (Oscar) Ke-95.

Yeoh, 61, menerima pengiktirafan menerusi lakonan cemerlang sebagai Evelyn Wang dalam filem Everything Everywhere All at Once.

Berkongsi perasaan menerusi hantaran dimuat naik dalam Instagram (IG), aktres kelahiran Ipoh, Perak itu merakamkan penghargaan kepada penganjur, The Academy of Motion Pictures Arts and Sciences atas pengiktirafan yang diberi itu.

"Saya terharu, gembira dan amat bahagia.

"Setiap mereka yang terbabit dalam pembikinan naskhah ini mencurahkan seluruh jiwa dan raga.

"Dan kami juga berterima kasih kepada penganjur kerana mengiktiraf ramai karyawan filem ini," tulisnya.

Lebih membanggakan, Yeoh menjadi pelakon wanita Asia pertama yang mendapat pengiktirafan dicalonkan dalam kategori utama Oscar itu.

Yeoh Kong meraih trofi Pelakon Wanita Terbaik Muzikal/Komedi pada Anugerah Golden Globe menerusi filem Everything Everywhere All at Once, baru-baru ini. - Foto AGENSI
Yeoh Kong meraih trofi Pelakon Wanita Terbaik Muzikal/Komedi pada Anugerah Golden Globe menerusi filem Everything Everywhere All at Once, baru-baru ini. - Foto AGENSI

Dalam pada itu, Yeoh menyifatkan watak Evelyn Wang yang dilakonkan dalam filem itu banyak membawa tuah sepanjang empat dekad berada dalam belantara seni.

"Membawakan watak Evelyn Wang menjadi salah satu watak yang banyak memberi kelebihan dan sangat istimewa sepanjang 40 tahun kerjaya sebagai pelakon.

"Terima kasih Daniel Kwan dan Daniel Scheinert kerana mempercayai bakat saya.

"Untuk peluang diberi, saya akan kenang detik ini buat selamanya," ungkap pelakon yang pernah membawakan watak Aung San Suu Kyi dalam filem biopik, The Lady ini.

Turut bersaing dengan Yeoh adalah Cate Blanchett bagi filem Tar; Andrea Riseborough (To Leslie); Michelle Williams (The Fabelmans) dan Ana De Armas (Blonde).

Filem Everything Everywhere All at Once turut menerima beberapa pencalonan pada Anugerah Akademi Ke-95 termasuk Filem Terbaik.

Baru-baru ini, Yeoh yang memulakan kerjaya perfileman di Hong Kong meraih trofi Pelakon Wanita Terbaik Muzikal/Komedi pada Anugerah Golden Globe atas lakonan dalam filem sama.

Anugerah Academy Ke-95 dijadual berlangsung di Dolby Theatre, Los Angeles, AS pada 12 Mac depan.