BERITA ABPBH

Wany kunci mulut kisah cinta bersama juruterbang

[email protected]

KUALA LUMPUR: Nyata, bukan mudah menjadi insan tersohor, apatah lagi, usia menghampiri 30 tahun. Pastinya soalan jodoh sering diasak kepada penyanyi tinggi lampai, Wany Hasrita.

Pernah dikaitkan dengan beberapa artis lelaki, beberapa tahun lalu, namun, kini penyanyi lagu Belenggu Rindu memilih mengunci mulut setiap kali diasak mengenai teman istimewa.

Kurang selesa membicarakan secara terbuka soal hati selagi belum ada ikatan sah, wanita berusia 29 tahun itu menegaskan, hanya akan memperkenalkan jejaka bertuah yang berjaya menambat hatinya apabila tiba masa yang sesuai.

Bagaimanapun, biarpun mengunci mulut, namun, timbul desas-desus Wany atau nama sebenarnya, Nurshazwany Hasrita Hasbullah bakal menamatkan zaman bujang, beberapa bulan lagi, baru-baru ini.

Diaju sejauh manakah kebenaran teman istimewanya seorang juruterbang, calon Top 5 kategori Penyanyi Wanita Popular Xiaomi, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34 itu enggan mengulas.

"Saya mohon maaf, jika boleh saya tidak mahu mengulas lanjut mengenai perkara ini.

"Sejujurnya, setakat ini, tiada apa yang boleh dikongsikan kerana belum perancangan rasmi. Kad kahwin pun belum ada lagi.

"Namun, jika pasti dan tarikh perkahwinan sudah ditetapkan, saya akan berkongsi dengan anda semua," katanya.

Diasak bila mahu mendedahkan identiti jejaka bertuah, Wany sekali lagi mohon maaf, malah menganggap belum masanya mengulas soal ini.

"Saya tiada niat mahu merahsiakan identiti 'si dia' sebenarnya. Bukan takut dirampas kerana semua ini kerja Tuhan, namun saya banyak belajar daripada kesilapan.

"Selain itu, saya menjadikan kisah cinta rakan artis sebagai iktibar.

"Bagi saya, biarlah soal cinta menjadi misteri, buat masa ini. Apabila semuanya sudah pasti, barulah saya akan buka mulut kerana kita tidak tahu apa yang akan terjadi sepanjang perhubungan yang terjalin," katanya.

Wany tiada niat merahsiakan identiti jejaka misteri, namun banyak belajar daripada kesilapan lalu. - Foto IG Wany Hasrita
Wany tiada niat merahsiakan identiti jejaka misteri, namun banyak belajar daripada kesilapan lalu. - Foto IG Wany Hasrita

Terdahulu, Wany mendedahkan kepada BH, perancangan mahu mendirikan rumah tangga sudah ada, namun mahu melunaskan impian yang belum tercapai sebelum berkahwin.

Sebelum ini, impiannya menghadiahkan ibu sebuah rumah sudah tercapai. Kini, Wany memiliki impian lain membelikan sebuah rumah untuk ayah pula.

Apabila sekali lagi dikecam mengenai pemakaian tudung, malah, ramai menganggapnya banyak berubah, Wany enggan memanjangkan isu berkenaan.

"Soal imej, tiada apa yang boleh saya komen. Saya mohon maaf kepada warga netizen dan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pemilihan pakaian saya.

"Tiada apa yang mengganggu fikiran, saya anggap hanya perkara biasa. Saya terapkan dalam hati, setiap orang mempunyai pendapat masing-masing dan saya kena terima dengan hati terbuka," katanya.