PETALING JAYA: Penyanyi Wany Hasrita membuka tirai karier 2026 dengan melancarkan single terbaharu berjudul Lembayung Tari yang mengangkat elemen pop etnik berteraskan nuansa klasik dan mistik alam Melayu.
Karya ciptaan Hael Husaini dan Iqie Hugh itu bukan sekadar mempertaruhkan melodi memikat, malah, hadir dengan konsep visual berunsur tradisional, termasuk penggunaan tulisan Jawi menerusi video lirik yang jarang diketengahkan dalam industri muzik arus perdana.
Menurut Wany atau nama sebenar, Nurshazwany Hasrita Hasbullah, 34, dia tidak mahu sekadar menghasilkan video lirik biasa, sebaliknya, mahu membangkitkan rasa ingin tahu dalam kalangan pendengar.
"Saya tak mahu sekadar paparkan teks lirik semata-mata. Secara peribadi, saya mahu penonton dan pendengar di luar sana yang mungkin sudah berasakan lagu ini 'catchy' dan rancak mula tertanya-tanya apabila menonton visualnya.
"Apabila saya sendiri pertama kali mendengar lagu ini, sejujurnya, saya tidak begitu menangkap liriknya. Saya lebih tertarik kepada melodinya yang sedap.
"Saya mahu penonton menikmati melodi dan melihat visual yang membangkitkan persoalan lagu ini sebenarnya soal apa? Apabila timbul rasa ingin tahu itu, barulah mereka akan membaca lirik dengan lebih teliti," katanya pada sidang media sempena pelancaran lagu Lembayung Tari di Universal Music Malaysia di sini, kelmarin.
Mengulas konsep video lirik Lembayung Tari, penyanyi yang dinobat sebagai Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-31 itu berkata, idea menerapkan elemen berunsur bunian tercetus hasil perbincangan bersama pengurusnya.
"Pengurus saya mencadangkan elemen seakan-akan 'vibes' bunian. Saya kemudian beri idea, kalau mahu tonjolkan suasana bunian yang sinonim dengan perkampungan Melayu, apa kata kita gunakan tulisan Jawi untuk lirik.
"Unsur bunian sering dikaitkan dengan alam Melayu tradisional dan tulisan Jawi juga warisan bahasa kita. Pada masa sama, generasi Z (Gen Z) boleh mengasah semula kemahiran membaca Jawi. Itu yang membuatkan konsep itu lebih bermakna," katanya.
Penyanyi yang popular dengan lagu Menahan Rindu dan Rintihan Rindu itu juga berkongsi pengalaman bekerjasama dengan Hael yang sebelum ini pernah mencipta dua lagu untuknya.
"Apabila saya mula-mula terima lagu ini, saya tidak begitu faham maksud keseluruhannya. Lagu daripada Hael ini adalah yang ketiga untuk saya, selepas Canggung dan Belenggu Rindu.
"Namun, dua lagu sebelum ini dirakam tanpa kehadiran Hael kerana jadualnya yang sibuk. Jadi, saya sebenarnya tidak begitu tahu cara dia bekerja di studio.
"Untuk Lembayung Tari, Hael hadir ketika rakaman. Di situlah saya bertanya, lagu ini sebenarnya berkisar apa. Hael berkongsi idea lagu itu datang pada waktu tengah malam.
"Lagu ini berkisar satu entiti yang turun ke bumi ketika cahaya senja dan gemar menari. Lagu ini menggambarkan suasana ketika entiti itu menari," katanya.
Wany berkata, lagu berkenaan mempunyai dua sudut pandang yang menjadikannya lebih unik.
"Jika diteliti, liriknya mempunyai dua sudut pandang. Satu dari perspektif penari itu sendiri dan satu lagi daripada individu yang memerhatikannya. Ada dua suasana yang berbeza.
"Ketika Hael menghuraikan maksud setiap rangkap di studio, suasana menjadi senyap dan kami semua seakan-akan meremang mendengarnya. Secara asasnya, itulah maksud di sebalik Lembayung Tari.
"Mungkin juga ada yang tidak tahu, lembayung merujuk kepada cahaya senja," katanya.
Bebas atur strategi sendiri
Mengulas variasi karya yang dipilih, Wany yang turut dikenali dengan beberapa karya berunsur tradisional mengakui dia tidak mahu terikat kepada satu genre semata-mata.
"Sebagai penyanyi, saya tidak boleh terikat pada satu genre sahaja. Secara peribadi, sesiapa yang mengenali saya tahu saya memang sangat suka muzik tradisional.
"Namun, saya sedar ada peminat yang merindui lagu seperti Menahan Rindu. Untuk tahun 2026, Alhamdulillah saya menerima naskhah yang sangat baik dan berkualiti.
"Jadi, saya pilih untuk membuka tahun ini dengan lagu berentak etnik yang digabungkan dengan elemen moden," katanya.
Mengulas sama ada tahu bahawa lagu Lembayung Tari dikatakan untuk Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza bagi dimuatkan dalam album tradisional beliau berjudul Gema Bumantara yang dilancarkan, Oktober tahun lalu, Wany berkata, dia hanya menyedarinya selepas selesai rakaman.
"Kami rakam lagu ini pada Disember. Sejujurnya, sebelum itu saya tidak tahu lagu itu untuk siapa. Selepas rakaman barulah saya tahu dan lagu itu mula tular di TikTok.
"Dari segi tekanan, saya tidak merasakannya. Saya lebih bersyukur kerana diberi rezeki untuk menyanyikan Lembayung Tari," katanya.
Dalam pada itu, mengulas kerjaya muziknya sebaik memutuskan bergerak dengan pasukan sendiri tanpa naungan syarikat rakaman, Wany berkata, ia memberi banyak pengalaman baharu kepadanya.
"Apabila bergerak sendiri, ia benar-benar mematangkan saya. Dahulu bersama syarikat rakaman, semua perancangan sudah diatur seperti lagu apa yang perlu dinyanyikan dan urusan promosi.
"Kini, saya perlu berbincang bersama pasukan kecil saya. Kami rancang hala tuju dan strategi tahun ini. Walaupun pasukan kami kecil, kami bergerak bersama-sama," katanya.
Wany berkata, selepas lapan tahun dinaungi syarikat rakaman, iaitu sejak 2016 hingga 2023, dia berasakan sudah tiba masa untuk berhijrah demi perkembangan karier seni.
"Saya percaya dalam kerjaya, berhijrah itu kadangkala perlu untuk perkembangan diri.
"Selepas lapan tahun, saya berasakan sudah tiba masanya untuk mencuba sesuatu yang baharu. Ia memberi saya ruang membuat keputusan sendiri dan belajar menguruskan kerjaya dengan lebih mendalam," katanya.
Wany berkata, rezeki turut memihak kepadanya apabila impian bekerjasama dengan Universal Music Malaysia akhirnya tercapai.
"Bagi Lembayung Tari, Alhamdulillah impian saya untuk bekerjasama dengan Universal Music Malaysia akhirnya tercapai. Sebelum ini saya hanya melihat rakan artis lain bergambar di hadapan pejabat mereka.
"Tahun ini menjadi rezeki saya pula untuk bekerjasama dengan mereka," katanya.
Lembayung Tari diterbitkan Wany Hasrita Entertainment dengan kerjasama Maison Management dan diedarkan Universal Music Malaysia. Single ini boleh didengari di semua platform penstriman digital utama sejak 6 Februari lalu.