KUALA LUMPUR: Pengacara popular, Uyaina Arshad mengaku cahaya mata sulung, Raja Urhan Raja Azhanrianshah yang berusia enam bulan, bagai nyawa sendiri.
Enggan berjauhan, Uyaina sanggup menolak tawaran lumayan daripada sebuah stesen televisyen (TV) di Indonesia jika buah hati pengarang jantungnya itu tidak dibenarkan dibawa bersama sepanjang menjayakan projek terbabit di sana.
Pengacara program bual bicara, Wanita Hari Ini (WHI) terbitan TV3 ini mengaku menerima beberapa tawaran mengendalikan program TV di seberang, namun, selagi belum ada hitam putih, dia tidak berani mengesahkannya.
"Suami tidak dapat turut serta kerana terikat dengan kerja. Jika usaha sama itu menjadi kenyataan, saya sudah berbincang dengan suami untuk membawa Urhan.
"Dia nyawa saya, jika tidak dapat bawa bersama, saya tidak akan pergi. Lagipun, saya sudah letakkan syarat kepada stesen TV terbabit.
"Jika ada situasi yang tidak membenarkan perkara itu (bawa anak bersama), tidak mengapa. Saya akan fikir perkara lain yang boleh dibuat," katanya ditemui pada pertunjukan fesyen Ariani Layar Raya 2023, baru-baru ini.
Sejak pandemik COVID-19 dunia tiga tahun lalu, kerjaya Uyaina di Indonesia terhenti.
Sebelum ini, Juara Puteri Muslimah Asia 2018 ini pernah mendapat kepercayaan mengendalikan program Dangdut Academy Asia untuk saluran Indo Siar.
Uyaina mengaku seronok dapat menonjolkan sisi berbeza dalam bidang pengacaraan di mana peluang sedemikian tidak diperoleh di Malaysia.
"Saya masih menanti diberi peluang mengendalikan program berbeza, bukan ilmiah sahaja.
"Tetapi di Indonesia, mereka tahu apa yang boleh saya lakukan dan bagaimana hendak menggunakan saya.
"Walaupun saya bertudung, bukan gila-gila dan tidak lawak, mereka tetap beri kepercayaan kepada saya mengendalikan program dangdut," katanya kepada BH Online.
Uyaina tidak kisah untuk berulang alik ke Jakarta saban minggu jika tawaran stesen TV terbabit dipersetujui.
Malah, Uyaina tidak menganggap beban walaupun terpaksa membawa anak bersama.
"Sebelum berkahwin, saya sampai tahap 'gila' bekerja sehingga pernah menjayakan dua program yang disiarkan secara langsung dalam sehari.
"Bayangkan, habis sahaja program realiti di Indonesia jam 1 pagi, saya bergegas ke lapangan terbang mengejar penerbangan pertama pulang ke Malaysia pada jam 3 pagi.
"Sampai sahaja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), saya terus ke Sri Pentas Bandar Utama untuk mengacarakan WHI.
"Selepas tugas di WHI tamat, saya berkejar semula ke KLIA untuk pulang ke Jakarta. Tetapi itu semua zaman sebelum berumahtangga dan belum punya anak.
"Kali ini, mungkin perlu lihat tenaga dan kudrat saya," katanya.
Mengulas kerjaya di Malaysia ada tawaran di seberang diterima, Uyaina mahu terus mengendalikan WHI.
"Kalau pergi ke Indonesia sekali pun, saya akan pulang setiap minggu. Saya bukannya ingin terus berhijrah ke sana.
"Saya tidak akan sesekali meninggalkan apa yang sudah saya bina di sini semata-mata untuk bekerja di Jakarta.
"Lagipun, ini tahun ketujuh saya bersama WHI. Saya hargai setiap rezeki yang diberi WHI.
"Saya masih sayangkan WHI dan sanggup berulang-alik setiap minggu demi komitmen terhadap tawaran di kedua-dua negara," katanya.