Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36

Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36

BERITA ABPBH

Usah panjangkan lagi isu Aaron Aziz - Syamsul Yusof

25 Mar 2023 | Affan Rostam

KUALA LUMPUR: Pengarah filem The Original Gangster (TOG), Syamsul Yusof, 39, menjelaskan keputusan menggugurkan Datuk Aaron Aziz daripada senarai pelakon naskhah itu dibuat sebulat suara dan dipersetujui penerbit.

Melalui entri Instagram Story (IGs), hari ini, Syamsul memberitahu, isu membabitkan Aaron tidak perlu dipanjangkan termasuk menyalahkan mana-mana pihak.

"Dalam isu Aaron digugurkan sebagai pelakon filem OG, tidak perlu kita menyalahkan mana-mana pihak atau pelakon lain seperti Sharnaaz Ahmad dan Beto Kusyairy.

"Keputusan menggugurkan Aaron dibuat sebulat suara oleh saya dan penerbit lain filem ini. lni isu kerja antara saya sebagai pengarah dan Aaron sebagai pelakon.

Syamsul memuat naik entri IGs meminta agar isu pengguguran Aaron daripada filem TOG tidak dipanjangkan. Foto IG Syamsul Yusof
Syamsul memuat naik entri IGs meminta agar isu pengguguran Aaron daripada filem TOG tidak dipanjangkan. Foto IG Syamsul Yusof

"Saya ambil semua kesalahan dan bertanggungjawab terhadap isu ini. Tidak perlu dipanjangkan lagi isu ini," luahnya.

Sebelum ini, Syamsul mendedahkan, masalah kesihatan iaitu 'slip disc' serta kenaikan berat badan Aaron menjadi antara sebab beliau terpaksa digugurkan daripada membintangi filem yang masih dalam pembikinan itu.

Bagaimanapun, Syamsul dilaporkan berkata, beliau adalah individu terakhir yang mahu menggugurkan Aaron daripada filem berkenaan.

Isu membabitkan Aaron diperkatakan apabila pelakon berasal dari Singapura itu memuat naik hantaran video di IG mendakwa Syamsul enggan berjumpa berhubung isu digugurkan daripada membintangi filem TOG.

Aaron mendakwa sudah membuat persediaan termasuk dalam aspek fizikal bagi membintangi karya itu.

Filem TOG terbitan Syamsul Yusof Films dan Razor's Edge Pictures dibintangi aktor handalan seperti Datuk Rosyam Nor, Yayan Ruhian, Shaheizy Sam dan Soffi Jikan.