Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36
Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36
KUALA LUMPUR: Pelakon drama Melur Untuk Firdaus, Anna Jobling meminta netizen tidak mengaitkan keluarga dengan kehidupan glamornya.
Anna yang pernah menyertai program pencarian bakat, Dewi Remaja sedih ibunya menjadi subjek persendaan netizen yang tergamak menyamakan wajah insan tersayang itu persis pembantu rumah.
"Saya tidak faham kenapa mereka tergamak menghina ibu orang lain? Tidak bolehkah mereka hormati ibu saya?
"Apa perasaan andai keluarga mereka pula dihina hingga sedemikian rupa?
"Ibu saya tidak pernah mengganggu orang tetapi tidak tahu kenapa, beliau diheret sama.
"Mungkin kerana saya seorang 'public figure', jadi peminat merasakan mereka ada hak untuk komen apa sahaja," katanya kepada BH Online.
Anna berdarah campuran di mana ayahnya berasal dari United Kingdom (UK) manakala ibunya dilahirkan di Melaka.
Anna berkata, sebagai anak, dia sedih ibunya diperlakukan sedemikian rupa.
"Tetapi, ibu saya sangat kuat. Saya bersyukur ibu sentiasa berfikiran positif," katanya.
Namun, Anna bersyukur mempunyai peminat yang tidak jemu-jemu menyokong dan sentiasa memberi kata semangat kepada dirinya dan ibu.
Anna tidak terfikir mengambil tindakan terhadap netizen yang 'bermulut lepas', sebaliknya, sangat bersyukur kerana rezeki dalam dunia seni makin bertambah.
"Lagi banyak mereka kecam saya dan keluarga, makin bertambah rezeki saya.
"Saya tidak terfikir langsung ambil tindakan. Mereka ada mulut dan mereka akan terus bercakap.
"Saya lebih suka buat hal sendiri, biarlah netizen buat apa yang mereka hendak. Asalkan saya ada peminat yang sentiasa menjadi tulang belakang dan terus sokong... Mereka kenal saya," katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai pengikut Twitter yang 'meluat' melihat kemesraan antara dirinya Meerqeen yang didakwa berlebih-lebih, Anna berkata, individu terbabit boleh berhenti jadi pengikutnya.
"Jika ada yang meluat atau kurang senang lihat kemesraan saya dan Meerqeen di Twitter, boleh nyah ikut atau sekat sahaja saya.
"Terpulang kepada saya untuk muat naik apa sahaja kandungan di Twitter," katanya.
Selepas berlakon dalam drama dan filem, Anna, 22, melangkah setapak lagi apabila beraksi di pentas teater melalui naskhah Maduku Terpaling Kalut, baru-baru ini.
Teater Maduku Terpaling Kalut adalah sebuah teater yang berkonsepkan 'farce comedy' yang diarahkan Azhar Zainal.
Selain Anna, teater itu turut dijayakan Azrel Ismail, Puteri Sarah, Syafiq Naser, Aya Amirudin dan Curly Jow.