BERITA ABPBH

Usah 'buta' taburan wang ringgit

[email protected]

KUALA LUMPUR: Tergelak besar aktres tersohor, Maya Karin, 42, saat mengimbau semula detik permulaan kerjaya lakonan yang diceburi sejak lebih dua dekad lalu.

Masih segar dalam ingatan Maya bagaimana dua filem yang dibintanginya pada awal pembabitan dalam bidang lakonan menghadiahkan pengalaman lucu, tetapi, disifatkan amat berharga.

Maya atau nama sebenarnya, Maya Karin Roelcke mengakui, dirinya naif dan tidak mengetahui perkembangan dunia perfileman tempatan, malah, pernah melalui situasi terlalu dikaburi dengan wang ringgit hingga hampir memusnahkan kerjaya lakonannya.

"Masa mula ditawarkan berlakon filem Seri Dewi Malam oleh Aziz M Osman, saya sangkakan ia akan ditayangkan di kaca TV, walhal diterbitkan oleh produksi perfileman.

"Lebih memalukan saya tidak kenal aktor Hairie Othman yang digandingkan dengan saya hinggalah pihak produksi memaklumkan itu adalah pelakon utama filem Leftenan Adnan.

"Saya naif dan tidak tahu perkembangan industri perfileman tempatan. Malah, saya langsung tidak boleh bercakap dalam bahasa Melayu pada masa itu.

"Mengenai filem sebuah filem komedi, sejujurnya saya menolak tawaran membintangi filem ini. Namun, penerbit memujuk dan sanggup membayar dua kali ganda daripada bayaran asal.

"Apabila filem ini ditayangkan, saya dikritik teruk dan ramai yang menjangkakan kerjaya lakonan saya bakal berakhir," katanya pada sesi Instagram (IG) Live Bersama Penggiat Seni menerusi topik Aku Pelakon Terbaik, Isnin lalu.

Sesi IG Live Bersama Penggiat Seni anjuran Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem (FINAS) itu diadakan sempena Festival Filem Malaysia Ke-31 (FFM31) yang akan berlangsung pada 10 Disember ini.

Mengangkat topik, Aku Pelakon Terbaik, sesi Live IG itu dikendalikan moderator yang juga dua editor hiburan, Saharudin Mohd Musthafa dan Roslen Fadzil.

Pengalaman pahit itu nyata mengajar pemenang kategori Artis Baharu Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2001 itu, duit bukanlah segala-galanya.

"Masa mula berada di lokasi filem ini, saya sudah rasa bagaikan ada yang tidak kena. Waktu itu berlaku kejadian ada ulat dalam nasi yang saya makan dan petugas produksi datang lewat.

"Jujur, saya akui membintangi filem ini adalah kesilapan paling besar buat saya.

"Pengalaman ini juga menyedarkan saya jangan buat sesuatu kerana duit. Walaupun duit itu penting, tetapi jika silap percaturan ia boleh memusnahkan kerjaya seni.

"Pesan saya, jika nak berlakon buat sepenuh hati dan jiwa, bukan semata-mata sebab wang," ujar Maya.

Maya sibuk menjalani latihan teater muzikal, Putri Santubong The Warrior Princess yang akan dipentaskan di Kampung Budaya Sarawak, Kuching pada 11 dan 12 Disember ini.
Maya sibuk menjalani latihan teater muzikal, Putri Santubong The Warrior Princess yang akan dipentaskan di Kampung Budaya Sarawak, Kuching pada 11 dan 12 Disember ini.

Dalam perkembangan lain, pemenang trofi Aktres Terbaik Festival Filem Malaysia sebanyak dua kali ini sempat menitipkan nasihat berguna kepada pelakon baharu yang mahu menjadikan bidang lakonan sebagai periuk nasi.

"Perkara utama kena tahu niat memasuki industri seni. Adakah kerana mahu berlakon ataupun semata-mata nak kejar populariti?

"Jika betul niat nak jadi anak seni, kena bukti ada keghairahan itu. Mereka juga kena ada inisiatif untuk terus memperbaiki diri, lakonan dan ikhlas dalam kerja yang ingin dilakukan.

"Untuk pengetahuan semua, sebelum watak pontianak dalam filem Pontianak Harum Sundal Malam menjadi milik saya, ada dua pelakon wanita lain terlebih dahulu menolaknya.

"Alasan diberikan salah seorang kerana takut hantu, manakala, seorang aktres lagi tidak sanggup memberi komitmen latihan selama dua bulan seperti ditetapkan.

"Saya bertuah terpilih membawakan watak pontianak bernama Meriam dan Maria selepas dua tahun tidak berlakon. Dengan komitmen diberikan, namun hasilnya lihatlah sehingga hari ini.

"Meskipun sudah hampir 20 tahun filem berkenaan ditayangkan, impaknya masih dirasakan hingga hari ini," ungkap penyandang trofi Aktres Terbaik Terbaik, Festival Filem Asia Pasifik ke-49 ini.

Berkongsi perkembangan terkini, penyanyi yang popular dengan lagu Erti Cinta ini sedang sibuk menjalani latihan teater muzikal, Putri Santubong The Warrior Princess.

"Di layar perak, saya sudah membawakan pelbagai karakter. Jujurnya, watak puteri pahlawan ini melengkapkan impian saya. Tidak dinafikan, perasaan gementar dan tekanan tetap ada apabila sudah lama tidak berlakon.

"Sejak bulan lalu saya sudah memulakan latihan bersilat, menari dan memasuki kelas lakonan di bawah bimbingan guru lakonan saya sejak dahulu, Ellie Suriaty.

"Dalam teater muzikal ini saya akan berdialog dalam bahasa Melayu baku dan sedikit dalam bahasa Sarawak. Dengan komitmen diberikan, saya harap dapat memberikan yang terbaik kepada penonton," luahnya.

Persembahan teater muzikal, Putri Santubong The Warrior Princess akan dipentaskan di Kampung Budaya Sarawak, Kuching pada 11 dan 12 Disember serta ditayangkan secara langsung di www.puterisantubong.com.my.