Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 35

Undi selebriti pilihan anda mengikut kategori ABPBH yang telah dipertandingkan pada tahun ini

BERITA ABPBH

'Usah bicara soal perjuangan jika tiada keberanian'

11 May 2023 | Affan Rostam

KUALA LUMPUR: Di sebalik keberhasilan syarikat produksi, Yusrych Global Sdn Bhd menerbitkan filem biopik, Anwar: The Untold Story, ternyata mereka berdepan beberapa kesukaran sebelum memastikan naskhah itu benar-benar 'bersedia' untuk diangkat ke layar perak di seluruh negara bermula 18 Mei ini.

Pengarahnya, Viva Westi mengakui, antara cabaran ketika menjayakan filem yang menceritakan ranjau perjalanan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mula memegang jawatan Menteri Kewangan antara 1991 sehingga dipecat pada 1998 itu adalah mendapatkan keizinan menayangkan di Malaysia.

Malah, katanya, antara perkara yang menambahkan kesukaran menghasilkan filem berkenaan adalah penggambarannya banyak dijalankan di Indonesia, apatah lagi usaha mengangkat nama figura politik yang sentiasa 'panas' itu menuntut kepada pelbagai kajian sebelum dapat difilemkan.

"Beberapa tahun lalu apabila berbicara mengenai Anwar semuanya kelihatan 'alergik' dan adakah saya diberi keizinan untuk menghasilkan filem ini?

"Bercerita mengenai Balai Polis Bukit Aman juga bukan suatu perkara mudah. Saya rasa itu tidak perlu saya jawab kerana semuanya juga tahu.

"Perkara paling berat apabila kita bersimpati kepada seseorang dan ingin membuatkan filem yang menceritakan mengenai perjuangannya. Cuma, ia tidak sebegitu ideal dan sempurna.

"Seharusnya penggambaran filem ini dijalankan sepenuhnya di Malaysia, termasuk menggunakan khidmat pelakon di negara ini.

"Bagaimanapun, kami harus melakukan semuanya di Jakarta, Indonesia termasuk membina rumah Anwar. Semua set digunakan untuk penghasilan filem dibina," katanya ketika ditemui pada sidang media selepas tayangan perdana filem Anwar: The Untold Story di Dadi Cinema, Pavilion Kuala Lumpur, Isnin lalu.

Mengulas keberaniannya menghasilkan filem berkenaan biarpun berasal dari Indonesia, Viva berkata, semangatnya datang ketika bertemu Anwar dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Viva dan Anwar ketika tayangan perdana filem Anwar: The Untold Story di Dadi Cinema, Pavilion Kuala Lumpur, Isnin lalu. - Foto Ihsan DMY Creation
Viva dan Anwar ketika tayangan perdana filem Anwar: The Untold Story di Dadi Cinema, Pavilion Kuala Lumpur, Isnin lalu. - Foto Ihsan DMY Creation

Justeru, Viva nekad dengan keputusan untuk terbabit dalam penghasilan filem Anwar: The Untold Story selepas berasakan perlu ada pihak yang berani mengetengahkan perjalanan Anwar dalam pentadbiran negara suatu ketika dahulu ke layar perak.

"Ketika orang bertanya kepada saya mengenai keberanian, saya juga terfikir adakah saya ini seorang yang begitu berani. Tidak mudah menceritakan sesuatu perkara yang dianggap 'asing', tetapi ketika bertemu Dr Wan Azizah, saya menemui kekuatan.

"Saya berasakan Anwar memberikan tenaga dan kekuatan untuk tampil berani menghasilkan filem berkenaan. Mungkin yang perlu diketahui adalah tidak mudah mengiyakan atau mengambil risiko.

"Cuma saya berfikir sekiranya tiada sesiapa yang terbuka untuk bercerita mengenai Anwar, adakah saya juga perlu berasakan seperti itu. Bagaimanapun, ini adalah saatnya untuk menceritakannya kepada orang ramai," katanya kepada BH Online.

Jelas Viva, untuk menggarap naskhah yang dapat merumuskan keseluruhan kisah dan fakta membabitkan Anwar adalah sukar, justeru hanya menyerahkan segala penilaian kepada penonton.

"Saya tidak berharap filem ini 100 peratus sama dengan kisah sebenar Anwar. Saya pasti Anwar lebih tahu mengenai dirinya sendiri.

"Saya cuma berfikir bahawa penonton boleh mendapatkan pengetahuan mengenai Anwar menerusi filem ini, walaupun sekadar 20 peratus.

"Apabila melihat Anwar dan isterinya tersentuh saat menonton filem ini, saya rasa bersalah apabila membuka kembali cerita lama yang begitu mengguris perasaan mereka.

"Mendefinisikan kepuasan hati itu tidak mudah, cuma saya mahu tanya kebanyakan penonton adakah mereka berpuas hati dengan keseluruhan filem ini.

"Saya serahkan penilaian kepada penonton kerana saya hanya pembikin filem," katanya.

Zunar berkongsi, usaha menghasilkan filem Anwar: The Untold Story bermula sejak 2011. - NSTP/Aziah Azmee
Zunar berkongsi, usaha menghasilkan filem Anwar: The Untold Story bermula sejak 2011. - NSTP/Aziah Azmee

Pada masa sama, Viva menjelaskan, dengan adanya filem berkenaan, orang ramai boleh mencari informasi mengenai Anwar dengan mudah.

"Sudah tentu penghasilan filem ini bertujuan memberi gambaran kepada umum mengenai apa sebenarnya yang terjadi. Orang yang menonton filem ini boleh mengetahui apakah yang berlaku kepada Anwar.

"Setiap keputusan diambil ada risikonya. Sekiranya takut usah berbicara soal perjuangan. Sebagai pembuat filem, saya sudah membuat pelbagai persiapan baik dalam soal kajian dan pelbagai lagi," katanya.

Sementara itu, penerbit eksekutif filem Anwar: The Untold Story, Zulkiflee Anwar Haq atau Zunar berkata, usaha menghasilkan naskhah itu bermula sejak 2011.

"Versi cerita filem ini datang daripada Anwar. Ada antara kisah yang orang tahu, ada yang samar-samar dan tidak langsung diketahui.

"Kita buat semula daripada 'public domain', tetapi, dalam bentuk yang terpendam. Misalnya, cerita yang diambil dari penjara dan laporan siasatan lengkap mengenai Anwar ketika dalam lokap.

"Jadi, kami angkat versi yang orang tidak tahu. Sama ada diterima sebagai kebenaran, terpulang kepada penonton.

"Namun, kami sudah berusaha sebaik mungkin mengambil cerita yang tercatat dalam perundangan dan hasil temu bual dengan pihak terbabit," katanya.

Filem edaran DMY Creation itu turut menyaksikan penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza menyanyikan lagu runut bunyi berjudul Menjaga Cintamu hasil ciptaan Andi Rianto dan lirik oleh Sekar Ayu Asmara.

Selain pelakon utama, Farid Kamil, filem Anwar: The Untold Story turut dibintangi pelakon seperti Hasnul Rahmat (Tun Dr Mahathir Mohamad) dengan dibantu pelakon Indonesia seperti Acha Septriasa (Dr Wan Azizah), Piet Pagau dan Dewi Irawan.

Naskhah itu digarap berdasarkan kisah sebenar yang berlaku dalam sebahagian hidup Anwar dengan penggambarannya dijalankan di Malaysia dan Indonesia.

Anwar: The Untold Story menelan belanja sebanyak RM10 juta dan akan ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 18 Mei ini.