Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36

Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36

BERITA ABPBH

Undian ABPBH 32 bermula

15 Jul 2019 | Zul Husni Abdul Hamid

KUALA LUMPUR: Bahang kehangatan acara hiburan berprestij, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) edisi ke-32 mulai terasa apabila proses undian awal untuk memilih calon Top 5 yang bakal bersaing pada acara kemuncak, bermula hari ini.

Mempertandingkan 13 kategori utama, selain lima kategori online, pemilihan artis kegemaran kini boleh dilakukan menerusi laman web: www.abpbh.com.my.

Pengarang Hiburan BH merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengelola ABPBH 32, Shamshul Azree Samshir, berkata proses undian awal akan berlangsung sehingga 14 Ogos depan.

“Calon yang bersaing perlu mempunyai produk yang dihasilkan mulai Januari 2018 hingga Disember 2018.

“Menambahkan lagi kehangatan awal proses undian untuk musim terbaru ini, peminat berpeluang menggandakan undian menerusi langganan BH Digital dengan membuat pembayaran menggunakan sistem DuitNow,” katanya.

ABPBH 32 membawakan tema Melangkaui Sempadan, bersama misi mengiktiraf kejayaan anak seni tempatan, bukan hanya di tanah air, malah merentasi benua.

Tema itu juga sejajar dengan kematangan akhbar BH yang berpegang kepada slogan `Wadah Pembaharuan' dalam menjadi sumber informasi dan rujukan rakyat menerusi kandungan mantap serta menarik.

“Tidak hanya memfokuskan kepada artis tempatan yang menyinar di luar negara, ABPBH 32 turut memberi penghargaan kepada artis antarabangsa luar yang mencipta nama di sini,” katanya.

Sehubungan itu, kata Shamshul, buat julung kali, ABPBH 32 memperkenalkan kategori artis antarabangsa iaitu, Artis Korea Popular dan Artis Indonesia Popular dalam senarai kategori utama.

“Langkah itu juga bertepatan dengan usaha memantapkan kandungan ABPBH yang bukan hanya diminati peminat tempatan, malah penduduk dunia menerusi penstriman, sejak beberapa tahun lalu,” katanya.

Mengekalkan rekod cemerlang sebagai acara anugerah hiburan pilihan peminat paling lama bertahan di Malaysia, ABPBH 32 turut menyajikan kepelbagaian pengisian menerusi semua platform.

Ia merangkumi kandungan digital dan bercetak, selain media sosial, siri jelajah, aktiviti santai bersama kelab peminat #FANtastik dan showcase istimewa yang dirancang sepanjang bulan ini hingga September depan.

Bagi menghangatkan ABPBH 32, dua siri jelajah bersama artis dan kelab peminat turut dirancang, iaitu di KOMTAR JBCC, Johor Bahru pada 3 Ogos ini, disusuli Aman Central, Alor Setar, Kedah pada 24 Ogos.

Yang turut dianjurkan program santai bersama kelab peminat iaitu #FANtastik dan Showcase ABPBH 32 pada 7 September depan di Eco Grandeur, Puncak Alam, Selangor.

Acara kemuncak ABPBH 32 akan disiarkan secara langsung menerusi TV3 dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), pada 22 September depan.