Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36

Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36

BERITA ABPBH

TV9, ST Rosyam Mart tawar pek barangan RM1.49

08 Apr 2023 | Affan Rostam

SUNGAI BULOH: TV9 dengan kerjasama ST Rosyam Mart melancarkan kempen Ramadan, Janji Berbaloi 149 yang menawarkan pek barangan masakan pada harga serendah RM1.49 di cawangan baharu pasar raya itu di sini, hari ini.

Tawaran istimewa yang hanya sah pada hari ini mendapat hangat apabila orang ramai mula beratur seawal jam 8.30 pagi untuk mendapatkan kupon.

Pengunjung berpeluang mendapatkan satu kupon tebusan yang sah untuk satu keluarga sahaja pada harga RM1.49, berbanding nilai sebenar hampir RM60.

Rosyam dan Ang berinteraksi dengan pelanggan yang datang ke cawangan baharu ST Rosyam Mart, Sungai Buloh, pagi tadi. Foto IG TV9
Rosyam dan Ang berinteraksi dengan pelanggan yang datang ke cawangan baharu ST Rosyam Mart, Sungai Buloh, pagi tadi. Foto IG TV9

Selain pembelian pek Janji Berbaloi 149, pengunjung berpeluang menemui Datuk Rosyam Nor yang mewakili ST Rosyam Mart. Turut hadir, selebriti dan juri tetap program realiti masakan TV9, Dapur Tempur Ra-Ra iaitu Michael Ang.

Pengurus Besar, Pengurusan Program dan Penyiaran TV9, Khairunnisa Kamarulzaman berkata, usaha yang digerak bersama ST Rosyam Mart bertujuan meringankan beban pembeli.

"Sempena Ramadan tahun ini, TV9 berbesar hati meringankan beban penonton dengan menjual barangan dapur bernilai RM60 pada harga serendah RM1.49.

"Ini adalah salah satu tanggungjawab dan inisiatif sosial TV9 dalam menyantuni penonton melalui kempen Janji Berbaloi 149," katanya.

Khairunnisa berkata, tahun lalu, pihaknya menjual ayam serendah RM1.49.

"Tahun ini dengan keadaan ekonomi semasa yang berdepan kenaikan harga barang, kami menjual 13 jenis barangan asas.

"Harga ditawarkan adalah RM1.49 untuk satu pek. Semoga dengan usaha ini dapat meringankan beban penonton menyambut Ramadan dan Syawal," katanya ditemui pada pelancaran kempen itu di cawangan baharu ST Rosyam Mart, di sini.

Khairunnisa berkata, projek kolaborasi antara TV9 dan ST Rosyam Mart bertujuan menyemarakkan lagi kempen Seindah Kasih Media Prima.

Sementara itu, Rosyam teruja apabila TV9 berminat menjalin kerjasama dengan mereka bagi tahun kedua.

"Saya teruja kerana TV9 masih memilih ST Rosyam Mart bagi menjayakan kempen Ramadan ini. Walaupun ada banyak lagi pasar raya lain di Malaysia, namun, mereka pilih kami.

"Cara kami sama seperti dahulu di mana mahu membantu masyarakat dengan tawaran harga berbaloi. Ini adalah satu 'perkahwinan' yang akan kekal sejati untuk masa akan datang," katanya.

Pek yang ditawarkan adalah barangan yang biasa digunakan bagi menyediakan juadah berbuka dan sahur. Antaranya beras, bawang putih, garam, minyak masak, telur, santan kelapa, tepung gandum, kicap manis dan bawang besar.