Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36
Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36
KUALA LUMPUR : Usah cakap kosong, tunjuk bukti.
Itu permintaan Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 38, kepada suami, Syamsul Yusof, 39, yang memfailkan permohonan nusyuz terhadap dirinya di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Selangor, Selasa lalu.
Puteri Sarah berkata, Syamsul perlu mengemukakan bukti atas dakwaan dirinya curang terhadap suami, bukan sekadar cakap kosong.
"Dakwaan isu curang biarlah perkara itu diputuskan mahkamah. Bagi saya, jika dia hendak bercakap, kenalah sertakan bukti.
"Saya tidak mahu dia cakap kosong sahaja. Kita tengoklah apa dia boleh buat di mahkamah nanti," katanya yang mengaku menerima surat saman nusyuz dari Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, pagi tadi.
Puteri Sarah ditemui selepas sesi perdamaian di bawah Jawatankuasa Pendamai (JKP) di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di sini, hari ini, yang turut dihadiri Syamsul.
Sarah berkata, dia akan menyerahkan surat saman nusyuz yang dikemukakan suami kepada peguam untuk tindakan lanjut.
"Saya akan serahkan surat itu kepada peguam... Nanti kita akan tengok.
"Peguam saya sedang berbincang dengan peguam Syamsul mengenai perkara yang perlu diberi perhatian," katanya.
Sarah enggan mengulas tuduhan dirinya curang dengan bekas teman lelaki yang juga suami orang, seperti didakwa Syamsul.
"Tidak mengapa, kita tengok sahaja di mahkamah kelak.
"Kalau dia rasa ada bukti, bagilah. Saya tinggal dengan ibu bapanya dan mereka nampak apa yang berlaku.
"Selepas keluar rumah pada 2020, saya tidak tinggal sendirian. Sebaliknya, saya duduk bersama ibu bapanya.
"Sebab itu, ibu mentua saya sanggup menjadi saksi kes kami.
"Saya sedikit pun tidak goyah dengan tuduhan nusyuz. Pada peringkat ini, saya dalam fasa cakaplah apa hendak. Kalau kata saya curang, lepaskanlah saya," katanya.
Sementara itu, Sarah menolak dakwaan keputusan hendak berpisah kerana ingin menuntut harta sepencarian bersama Syamsul.
Sarah berkata, anak-anak adalah keutamaan dan dirinya bekerja keras menyara keluarga.
"Orang boleh nampak bagaimana saya kerja keras selama ini. Sampaikan tidak cukup tidur, malah, malam tadi, penggambaran habis agak lewat.
"Jadi, takkanlah saya hendak tuntut cerai semata-mata kerana harta. Apabila dia memfailkan nusyuz, saya terus tuntut hadanah iaitu hak penjagaan anak-anak, bukannya harta.
"Anda boleh tahu apa keutamaan dan nombor satu dalam hidup saya ketika ini. Anak-anak sentiasa dengan saya dan tidak pernah berenggang," katanya.
Selasa lalu, Syamsul memfailkan permohonan nusyuz terhadap Puteri Sarah di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Selangor.
Syamsul diwakili peguam syarie, Azmi Mohd Rais memfailkan permohonan nusyuz, jam 3.10 petang.
Syamsul dilaporkan memfailkan tuntutan nusyuz terhadap Puteri Sarah bukan sebab mahu membalas dendam, sebaliknya menyelamatkan rumah tangga.