KUALA LUMPUR: Belumpun sempat album sulung penyanyi rap, Tuju, 26, 'mendarat' di pasaran selepas hampir dua tahun mengambil masa disiapkan, timbul beberapa persoalan membelenggunya.
Sebelum dilancarkan, album berjudul Tuju Untuk Kamu 18/19 itu berdepan masalah teknikal hingga anggota kumpulan hip hop popular, K-Clique itu meluahkan kekecewaannya.
Malah, kulit album Tuju Untuk Kamu 18/19 tidak diletakkan wajah penyanyi atau objek lain seperti kebiasaannya. Hanya dilatari ruang kosong berwarna putih dan judul album juga mengundang 1001 tanya.
Bagaimanapun, Tuju atau nama sebenarnya, Muhammad Azree Shah Awang Zamri, 26, itu enggan memanjangkan masalah teknikal berbangkit.
"Jujurnya, masalah teknikal sudah diselesaikan dengan baik. Kesilapan berlaku akibat salah faham antara saya dan syarikat rakaman.
"Mungkin juga sebab terlalu teruja mahu melancarkan album ini. Lagi pula, ketika itu penghujung tahun, jadi, ramai sedang bercuti.
"Cuma, saya belum berpuas hati album ini masih belum rancak di platform digital. Saya harap masalah berbangkit ini dapat diselesaikan dengan cepat," katanya kepada BH Online.

Mengulas kulit album dianggap paling ringkas, suami kepada Loca B ini menjelaskan, ia cetusan ideanya.
"Saya buat kulit album guna telefon pintar dan sebuah aplikasi suntingan foto. Ikutkan sudah pelbagai idea dan input termasuk gambar digunakan untuk kulit album.
"Tetapi, akhirnya memilih mahu meringankan kulit album tanpa objek atau gambar.
"Lagipun, tujuh lagu dalam album ini sudah berat isinya. Selepas perbincangan dengan pasukan kerja, cukuplah sekadar kulit album ditampilkan tanpa terlalu rumit. Jadi, saya hasilkan gambaran seringkas mungkin," katanya.
Dalam pada itu, Tuju berkata, album sulungnya dianggap sebuah kolektif muzikal berkisar kembara perjalanan seninya sejak dahulu hingga hari ini.
"Pelbagai suka duka pernah saya lalui. Album Tuju Untuk Kamu 18/19 menceritakan perjalanan hidup saya yang diterjemahkan dalam lagu. Setiap trek ada cerita tersendiri dengan maksud tersirat.
"Album ini turut membabitkan komposer hebat seperti Altimet, Loca B, Mingling, AJ Hezi, Wolfy, Gnello dan Saucie J," katanya.
Album Tuju Untuk Kamu 18/19 memuatkan lagu seperti Matahari, Gelora, Jiwa Pusing, Khayalan, Ambang dan Embun ini boleh dinikmati dan didengari di platform digital terpilih sejak 31 Disember lalu.
Kebanyakan K-Clique mara dengan muzik solo, namun, persaudaraan mereka terus utuh dan sampai waktunya, akan berkongsi hasil kerja sebagai sebuah kumpulan.