Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36

Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36

BERITA ABPBH

Tuah Adzmi tak malu kerja kilang

06 Feb 2022 | Fatin Farhana Ariffin

KUALA LUMPUR: Bakat baharu, Tuah Adzmi, 24, tidak malu jadi pekerja kilang dan menjual makanan demi rezeki halal.

Tuah Adzmi atau nama sebenar, Arumi Nafis Mohd Adzmi tidak kisah melakukan sebarang kerja apatah lagi dalam tempoh mencabar ini demi menampung kehidupan dan keperluan ibu.

"Sebelum jadi penyanyi saya banyak buat kerja berat. Saya tidak kisah, selagi halal. Saya bukan lahir dari keluarga senang, jadi, saya tiada masalah untuk bekerja di mana-mana.

"Alhamdulillah, tahun lalu, saya dapat bekerja di sebuah kilang mencetak al-Quran sebagai pembantu stor. Saya mula bekerja September tahun lalu dan berhenti sekejap, bulan ini, selepas diberi peluang menyertai program realiti, Big Stage 2022.

Tuah bakal membuat persembahan pertama di pentas Big Stage 2022, malam ini. Foto IG Tuah Adzmi
Tuah bakal membuat persembahan pertama di pentas Big Stage 2022, malam ini. Foto IG Tuah Adzmi

"Saya takut tidak boleh membahagikan masa antara kerja di kilang dan komitmen Big Stage 2022. Jadi, selepas berbincang dengan pengurusan kilang, saya dibenarkan kembali bekerja selepas program realiti itu berakhir," katanya kepada BH Online.

Dihimpit masalah kewangan akibat penularan pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Tuah berkata, dia terpaksa menjual kereta kesayangan pada harga RM18,000.

"Ketika pandemik, saya tiada 'show'. Sebelum itu, saya ada banyak persembahan hinggalah COVID-19 menular menyebabkan semua 'job' dibatalkan.

"Enam bulan pertama pandemik melanda, saya masih okay kerana ada wang simpanan. Apabila wabak makin menular, simpanan kian susut.

"Ibu pula pencen tahun lalu dan tiada lagi sumber pendapatan. Jadi, saya putuskan untuk menjual kereta kerana kos penyelenggaraan yang tinggi.

"Saya ada dua kereta dan sebuah motosikal. Saya fikir, lepaskan sebuah kereta dan tiada lagi masalah. Hasil jualan kereta saya gunakan untuk modal berniaga.

"Saya jual roti John, Ramadan tahun lalu dan pakaian, namun, tidak mendapat sambutan," katanya.

Tuah sedar ada netizen memberi pandangan sinis terhadap artis yang ditimpa masalah kewangan hingga terpaksa menjual aset dan enggan berusaha mencari pekerjaan lain.

"Saya terima banyak mesej yang berbunyi penyanyi bila sudah kaya, beli benda mahal dan kemudian tak boleh bayar, malu hendak bekerja.

"Orang tidak tahu apa yang saya buat. Mereka tidak kenal saya. Saya hanya pejamkan mata dan pekakkan telinga. Saya tak mahu berbahas dengan orang begitu.

"Mereka tidak tahu saya perlu cari duit untuk meneruskan kehidupan bersama emak," katanya.

Tuah menganggap ibu adalah sumber kekuatannya untuk bekerja dan dia perlu terus berusaha.

"Tiada orang boleh jaga emak selain saya. Hanya saya harapan ibu dalam meneruskan kehidupan," katanya.

Sementara itu, penyanyi lagu Kecewa ini menafikan dakwaan syarikat pengurusannya, FMC Music mengabaikan dirinya berbanding penyanyi lain yang bernaung di bawah organisasi itu.

"Tidaklah... Kami selalu berhubung. Pada masa sama, FMC Music juga menerima kesan akibat PKP di mana pendapatan mereka juga daripada artis.

"Kami sendiri tiada 'show', jadi semuanya terkesan," katanya.

Tuah berkata, jika diikutkan, dia sudah berputus asa untuk menyanyi. Namun, apabila mendapat tawaran Big Stage 2022, semangatnya pulih.

"Kalau perasan dalam media sosial, saya tidak muat naik apa-apa entri tahun lalu. Semuanya kerana saya bergelut mencari duit.

"Namun, apabila saya dapat menyertai Big Stage 2022, saya fikir ini masanya untuk saya kembali menyanyi. Jadi, saya tanamkan semangat untuk beraksi semula tahun ini dan buat sehabis baik.

"Tetapi, jika rezeki saya tidak panjang di pentas ini, saya sudah bersedia untuk buat kerja lain," katanya.

Tuah yang bakal membuat persembahan pertama di pentas Big Stage 2020, malam ini, mahu mencuba yang terbaik agar dapat memuaskan hati peminat.

"Saya memang gementar dan takut kerana lebih setahun saya tidak buat persembahan. Alhamdulillah, sekarang saya sudah mula menghadiri kelas dan belajar banyak perkara.

"Bagi konsert pertama ini, saya akan dendangkan lagu sendiri. Semestinya orang akan letak harapan tinggi. Jadi, ini memberi tekanan sedikit, namun, saya cuba buat yang terbaik... Insya-Allah," katanya.