BERITA ABPBH

Trofi bukan tiket untuk lebih selektif – Aida Amron

25 Nov 2026 | Fatin Farhana Ariffin

KUALA LUMPUR: Kemenangan sebagai Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-35 tidak membuatkan Aida Amron berasa dirinya sudah cukup berpengalaman untuk memilih naskhah lakonan secara lebih selektif.

Sebaliknya, Aida, 27, yang meraih trofi menerusi watak Mirah, menganggap pengiktirafan itu sebagai tanggungjawab lebih besar untuk terus menyumbang kepada industri seni dan masyarakat menerusi karya yang membawa nilai bermakna.

Katanya, sejak awal menceburi bidang lakonan, dia mencari skrip yang bukan sekadar menghiburkan, tetapi mampu memanusiakan manusia serta menyampaikan peringatan kepada penonton.

"Tidaklah saya selektif sebab menang anugerah. Saya berlakon pun sememangnya mencari skrip atau karya yang memanusiakan manusia dan bukan hanya hiburan.

"Saya rasa dunia sekarang bukanlah tempat untuk kita bersenang-senang. Kita perlu peringatan dan rutin baharu untuk memahami masa depan serta apa yang bakal berlaku.

"Saya perlukan cerita yang memberi kepercayaan kepada saya untuk mencipta sesuatu dalam industri ini, bukan kepada industri saja, tetapi kepada masyarakat Malaysia sendiri," katanya kepada BH Online.

Aida menewaskan empat calon lain bagi kategori berkenaan, iaitu Shasha Abedul menerusi Malam Terlarang, Fish Liew (Pavane For An Infant), Nad Zainal (Denu) dan Mimi Lana (Polong).

Mengulas kemenangan itu, Aida mengakui tanggungjawab sebagai pelakon kini dirasakan lebih berat, terutama apabila menyedari perjalanan untuk membina nama dalam industri seni bukan sesuatu yang mudah.

Katanya, seseorang pelakon perlu memiliki kemahiran, nilai dan kreativiti tersendiri untuk terus berkembang.

"Saya sedar untuk masuk ke industri seni ini susah. Kita perlu ada kemahiran, nilai dan kreativiti sendiri.

"Sebenarnya, saya sendiri belum menemui perkara itu dalam diri saya, tetapi orang lain sudah melihatnya.

"Terima kasih kerana percaya kepada saya. Kita memang memerlukan orang yang percaya kepada kita supaya dapat melangkah lebih jauh dan mengenali diri sendiri," katanya.

Aida turut mengakui kemenangan itu di luar jangkaannya, apatah lagi selepas membuat kajian mengenai rekod pencalonan serta pemenang FFM terdahulu.

Katanya, penelitian terhadap corak kemenangan sejak FFM pertama membuatkan dia lebih bersedia menghadiri acara berprestij itu, namun tidak pernah meletakkan harapan untuk membawa pulang trofi.

"Saya sangat tidak menjangkakan kemenangan ini kerana membuat kajian mengenai FFM1 hingga sekarang, termasuk corak pencalonan dan kemenangan.

"Saya melihat calon terdahulu sebagai pelakon yang sudah beberapa kali membintangi filem dan lebih berpengalaman. Mereka juga pernah dicalonkan beberapa kali.

"Ini pencalonan pertama saya. Saya tidak rasa akan menang kerana merasakan diri belum cukup berlakon filem," katanya.