Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36
Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36
KUALA LUMPUR: 'Panas' gara-gara kenyataan dibuat melalui sesi 'live' di Facebook (FB) berhubung isu menutup aurat dan peluang mengerjakan umrah, Ifa Raziah mengulangi permintaan agar orang ramai mendoakan dirinya berubah menjadi insan lebih baik.
Ifa atau nama sebenar, Saripah Raziah Mustapha berharap orang ramai tidak menilai dirinya sebagai insan jahil dan pendosa hanya disebabkan belum bertudung.
"Saya sedar dosa tidak menutup aurat, namun, saya meminta orang ramai agar mendoakan yang baik-baik dan saya berubah ke arah kebaikan.
"Tetapi apabila orang seperti saya yang jahil dan pendosa memberi komen, orang tidak boleh terima pandangan saya. Tidak mengapalah, terpulang kepada hak masing-masing kerana hidup kita diberi pilihan," katanya kepada BH Online.
Ifa atau nama sebenar, Saripah Raziah Mustapha baru-baru ini dikecam kerana mengeluarkan kenyataan biarpun belum menutup aurat tetapi sudah tiga kali dia dijemput mengerjakan Umrah.
Berikutan itu, Ifa dikritik netizen yang mendakwa dirinya mendabik dada. Malah, ada yang menuduh apa yang dialami artis versatil itu sebagai istidraj atau pemberian nikmat Allah kepada manusia di mana ia tidak diredaiNya.
Ifa mengaku tidak kisah disukai atau dibenci ramai berikutan kontroversi tercetus.
"Saya tidak kisah sama ada orang suka atau benci saya. Jika orang suka, Alhamdulillah. Kalau orang ingin membenci sekali pun, saya tiada masalah.
"Dipuji saya tidak akan 'terbang'. Andai dihina, saya tidak akan tumbang," katanya.
Mengenai pengakuan dirinya sudah tiga kali mengerjakan umrah, Ifa berkata, dia melakukan ibadat itu kerana ingin mendekatkan diri dengan Allah, bukan aras faktor dirinya berduit.
"Saya anggap mungkin Allah jemput sebab Dia mahu saya belajar perkara baharu ketika melakukan ibadat.
"Allah tahu, jika saya di sini, saya tidak ada masa memikirkan soal akhirat melainkan solat lima waktu dan tahajud yang saya lakukan setiap malam.
"Jadi, saya anggap Allah jemput supaya saya lupakan hal dunia. Apakah itu yang dinamakan istidraj? Saya boleh ke mana-mana untuk bercuti, sebaliknya, saya pilih menunaikan umrah kerana ingin berjumpa dengan Rasulullah SAW," katanya.
Ifa berkata, orang ramai boleh menonton kenyataan dibuat melalui video di FB dan Instagram (IG) jika mahu mendapatkan lebih pemahaman berhubung isu diperkatakan.
"Video penuh boleh ditonton di laman sosial saya. Usah tonton klip video yang sudah disunting pemfitnah," katanya.