Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36

Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36

BERITA ABPBH

'Tiada kredit dalam poster, bukan filem'

07 Jul 2022 | Farihad Shalla Mahmud

KUALA LUMPUR: Penerbit filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan, Abdul Rahman Mt Dali menyangkal dakwaan pihaknya meletakkan rujukan penghargaan atau kredit kepada FINAS pada penghujung filem terbabit hanya selepas tujuh hari ditayangkan di pawagam.

Menafikan dakwaan FINAS, Abdul Rahman, 62, berkata mustahil bagi pihaknya melakukan suntingan dan memasukkan logo penghargaan selepas filem siap kerana prosesnya agak rumit dan mengambil masa.

"Kami mengaku melakukan kesilapan apabila tidak memberi kredit kepada FINAS tetapi ia hanyalah untuk bahan bercetak seperti poster, bukannya filem.

"Perkara ini sudah saya jelaskan sebelum ini. Kerja peletakan kredit pada poster diberi kepada pihak ketiga. Namun, kami tetap bertanggungjawab dan mengaku ia berpunca daripada kecuaian sendiri.

Memasuki hari ke-15 tayangan, filem box office, Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan mengungguli senarai filem tempatan paling laris pernah diterbitkan dalam sejarah perfileman negara sejak naskhah pertama Laila Majnun dihasilkan pada 1933. Foto Ihsan Studio Kembara
Memasuki hari ke-15 tayangan, filem box office, Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan mengungguli senarai filem tempatan paling laris pernah diterbitkan dalam sejarah perfileman negara sejak naskhah pertama Laila Majnun dihasilkan pada 1933. Foto Ihsan Studio Kembara

"Kami mengaku tidak membuat pemeriksaan terperinci sebelum filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan ditayangkan," katanya kepada BH Online.

Semalam, BH Online melaporkan FINAS mengarahkan peguam menyemak isu kegagalan penerbit filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan mematuhi perjanjian berhubung syarat kredit atau rujukan penghargaan atas kerjasama agensi itu dalam merealisasikan projek terbabit.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FINAS, Prof Dr Md Nasir Ibrahim, dilaporkan berkata semakan FINAS mendapati penerbit, Studio Kembara Sdn Bhd gagal memberi kredit kepada FINAS dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) dalam beberapa medium, seperti termaktub dalam terma perjanjian.

Md Nasir dilaporkan berkata, mengikut syarat, penerbit perlu memasukkan logo FINAS dalam bahan bercetak yang berkaitan filem berkenaan, namun, perkara ini gagal dilakukan.

Selain itu, katanya, kredit yang diberi dalam filem (rujukan penghargaan yang disiarkan pada penghujung filem) hanya dimasukkan selepas tujuh hari filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan ditayangkan di pawagam.

Abdul Rahman berkata, bagi filem, pihaknya meletakkan rujukan penghargaan atau kredit lebih awal iaitu sebelum tayangan perdana pada 16 Jun lalu. Malah, pada hari pertama tayangan, iaitu pada 23 Jun lalu, kredit itu sudah siap.

"Ada dua kredit yang kami letak iaitu logo FINAS ditayangkan sejurus filem tamat dan satu lagi pada penghujung senarai pihak yang diberi penghargaan.

"Kami turut meletakkan kredit atas kesudian FINAS membenarkan kami menggunakan kemudahan yang disediakan terutama untuk proses adunan akhir filem berkenaan.

"Justeru, tidak timbul soal kami hanya beri penghargaan itu selepas seminggu filem ditayangkan. Adalah mustahil untuk kami perbetulkan pada saat akhir kerana membabitkan 100 pawagam," katanya.

Tidak berniat mencetuskan konflik, Abdul Rahman menegaskan penjelasan dibuat untuk memastikan masyarakat mendapat gambaran sebenar selain enggan membiarkan spekulasi berlarutan.

"Bukan tujuan kami untuk mengeruhkan keadaan atau hendak bertembung dengan dengan mana-mana pihak termasuk FINAS.

"Saya hanya ingin memperbetulkan fakta supaya kenyataan dikeluarkan FINAS tidak disalahertikan," katanya.

Sebagai orang baharu dalam dunia perfileman, Abdul Rahman memandang serius kesilapan dilakukan.

Justeru, sehari selepas acara tayangan perdana filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan, Abdul Rahman berkata, pihaknya mengutuskan surat permohonan maaf kepada FINAS dan menyatakan hasrat untuk bersemuka.

"Sebagai orang baharu dan tiada pengalaman, kami mengaku kelemahan dan akan cuba memperbaikinya.

"Dalam surat bertarikh 17 Jun itu, kami menyatakan hasrat untuk bertemu FINAS bagi menjelaskan perkara sebenar yang terjadi," katanya.