Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36
Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36
KUALA LUMPUR : Biarpun sudah berjuang sebaik mungkin, The Siti Sisters iaitu kakak dan adik kepada Datuk Seri Siti Nurhaliza, akur gagal mara ke pentas akhir program realiti, Famili Duo.
Pada peringkat separuh akhir, kelmarin, The Siti Sisters yang dianggotai dua beradik iaitu Siti Saidah Taruddin dan Siti Sairah, menduduki tangga terakhir dengan 356.3 markah.
Akui Saidah dan Sairah, ibu mereka, Siti Salmah Bachik yang selama ini menjadi penyokong 'senyap', turut akur dengan keputusan juri program realiti berkenaan.
Saidah berkata, ibu mereka tahu sejauh mana kemampuan dirinya dan adik, Sairah.
"Emak reda kerana tahu kami sudah mencuba sehabis baik. Malah, emak nampak peningkatan kami saban minggu.
"Cuma emak ada berpesan agar kami tidak berhenti setakat ini. Malah, emak menasihati kami buat apa yang perlu, perbaiki kekurangan dan anggap semua ini proses pembelajaran," katanya.
Saidah berkata, peluang bersaing di pentas Famili Duo selama tujuh minggu dianggap pengalaman yang tidak dapat dilupakan dan sangat bermanfaat.
"Walaupun gagal ke final, saya rasa puas hati kerana ini salah satu pencapaian untuk kerjaya nyanyian saya.
"Cuma sedikit ralat kerana kami lambat 'panas' kerana pada minggu terawal, kami masih mencari momentum.
"Mungkin kerana segala-galanya kami lakukan sendiri, jadi kami perlukan masa untuk mendapat rentak.
"Namun, kami bersyukur keluarga beri sokongan dan kami mula nampak penerimaan peminat," katanya.
Sementara masih 'hangat', Saidah dan Sairah berkemungkinan menghasilkan single duet.
Bagaimanapun, Saidah perlu menunggu persetujuan Sairah berikutan adiknya itu sedang mengandung.
Ditanya adakah serik untuk menyertai program realiti selepas ini, Sairah berkata, sekiranya ada tawaran, mereka pasti memberi pertimbangan.
"Kalau boleh, kami juga mahu ahli keluarga lain tampil ke depan. Jika ada yang masih berminat untuk mengundang kami, Insya-Allah kami akan pertimbangkan.
"Tiada istilah serik atau sebagainya," kata Sairah.