Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36
Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36
KUALA LUMPUR: Serik dan tiada lagi kerjasama, begitulah pendirian aktor sensasi, Fezrul Khan, 40, apabila insiden babak cekik membabitkan pelakon gandingan, Reen Rahim dalam filem bergenre seram, Batu Syaitan sengaja diperbesarkan sehingga disalah erti.
Fezrul bukanlah pendatang baharu, sebaliknya berpengalaman hampir dua dekad dalam industri lakonan. Sudah tentu, Fezrul atau nama sebenarnya, Fezrul Khan Junaidi Khan tahu apa yang boleh atau tidak dilakukan supaya pelakon gandingan tidak tercedera.
Baginya, tindakan Reen tidak wajar, apatah lagi, masih baru dalam bidang lakonan.
Terdahulu, Reen mendakwa Fezrul mencekiknya hingga hampir lemas ketika menjayakan babak dalam filem itu. Reen merasakan kekasaran tidak seharusnya berlaku kepada pelakon gandingan.
Bagaimanapun, Reen tidak terlintas memperbesarkan isu dicekik dan mempersoalkan cara lakonan Fezrul, sebaliknya menyatakan apa yang terbuku di hati, selain tidak mahu kejadian sama berulang kembali.
Bagi pelakon filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa dan Polis Evo 3 itu, setiap manusia ada tahap kesabaran.
"Sekali buat tidak mengapa, kali kedua saya masih boleh sabar, tetapi bila sudah tiga kali, siapa boleh tahan?
"Sebagai pelakon lama, saya juga mempunyai maruah. Jika tak tahu bagaimana cara berlakon dan melakukan sesebuah babak, boleh sahaja bertanya dan berbincang dengan saya.
"Dia sebagai pelakon baharu sepatutnya berjumpa dengan pelakon senior untuk membuat latihan. Kami bekerja satu pasukan, jadi kena saling berbincang barulah babak lakonan menjadi. Ini baru berlakon lima tahun dan ada ramai pengikut dalam laman sosial, dia ingat boleh tunjuk besar kepala ke?" katanya kepada BH Online.
Fezrul berkata, orang luar boleh menilai sendiri menerusi video yang dimuat naik dalam Instagram, baru-baru ini.
"Apa yang membuatkan saya geram, kenapa pengarah sebut 'cut', dia kena menjerit kepada saya? Kenapa tak jerit sejak awal babak dilakukan?
"Saya pernah melalui pelbagai pengalaman dalam api dan air. Kalau setakat kena cekik begitu, takkan mati.
"Mungkin dia ingin tunjuk kepada kekasihnya (kini suami). Lagipun, saya sudah dinasihatkan tidak bergurau dengan Reen jika lelaki itu datang," katanya.
Mengulas adakah yakin tindakannya tidak membahayakan orang lain, Fezrul berkata, dia sudah banyak terbabit dengan aksi lasak dalam badan beruniform, tetapi semua itu bukan dilakukan 'bodoh-bodoh', sebaliknya melalui pelbagai latihan.
"Sebelum ini, saya pernah menyelamatkan orang pengsan di lokasi penggambaran. Jadi, saya bukan datang dengan ilmu kosong.
"Memanglah ada babak lawan, saya ada juga tersiku pelakon lain, tetapi kemudiannya, saya minta maaf kerana apa yang berlaku tidak boleh dielak.
"Dalam kes dengan Reen, tidak perlulah dia tunjuk besar kepala dengan saya. Kalau setakat berlakon cerita menjadi gadis gedik di kampung tidak perlu nak berlagak. Cuba suruh bawa watak tentera, bomba dan tentera laut, boleh ke buat?," katanya.
Pelakon kelahiran Johor Bahru itu berkata, dia tekad menolak sekiranya ada tawaran untuk bergandingan dengan Reen.
"Sekiranya ada tawaran bersama Reen, saya akan tolak 'job' itu. Sebabnya, kita masih mempunyai ramai pelakon wanita hebat.
"Dia juga bukan 'level' saya. Nasihat saya, jika dapat watak berat dan rasa tidak boleh bawa, jangan terima tawaran.
"Jangan ambil 'job' semata-mata mahukan duit. Dan, jangan tunjuk hebat dan nak bersikap kurang ajar," katanya.
Terdahulu, Fezrul berkongsi video dalam aplikasi TikTok memberi penjelasan mengenai babak dilakonkan bersama dua pelakon wanita, salah seorang Reen, baru-baru ini.
Fezrul minta warga netizen menilai dengan apa yang diperlihatkan dalam video itu.