BERITA ABPBH

Tak perlu ingatkan saya gemuk – Janna Nick

24 Nov 2026 | Serimah Mohd Sallehuddin

PUTRAJAYA: Pelakon, Janna Nick mengakui kecewa dan tertekan apabila perubahan fizikal, khususnya peningkatan berat badan, sering dijadikan bahan persendaan netizen.

Janna berkata, dia menyedari perubahan fizikal itu dan tidak memerlukan orang lain, terutama netizen, mengingatkan perkara yang sudah diketahui serta dirasainya sendiri.

"Apabila kita sendiri sudah sedar tetapi orang lain menambah lagi dengan komen sedemikian, kita akan berasa sangat tertekan dan kecewa.

"Sebagai wanita, apabila kita mula berasa tidak seronok untuk mengenakan pakaian, sebenarnya kita tidak memerlukan orang lain untuk mengecam kita.

"Orang tidak perlu mengatakan saya gemuk atau meminta saya kurus sedikit. Tidak perlu kerana kita sendiri sedar akan keadaan diri. Kita tidak berilusi," katanya ditemui pada majlis pengumuman dirinya sebagai duta rasmi 3Days x Turun KG musim kedua, di sini, hari ini.

Menurut Janna, kesedaran terhadap perubahan fizikal itu turut dirasai ketika melihat cermin atau mencuba pakaian yang disukai, namun mendapati penampilannya tidak seperti yang diharapkan.

"Contohnya, apabila melihat pakaian yang cantik pada patung peraga tetapi selepas memakainya, kita tertanya-tanya mengapa kita kelihatan gemuk atau lengan nampak besar.

"Dari situ pun kita sudah ada kesedaran sendiri. Jadi, netizen tidak perlu bersusah payah datang dan memberitahu kita bahawa kita gemuk," katanya.

Mengulas keputusan memulakan usaha menurunkan berat badan, Janna berkata, langkah itu dibuat atas kesedaran dan keinginan untuk melakukan perubahan demi dirinya sendiri.

Katanya, usaha berkenaan bukan lagi berkaitan suami atau perancangannya untuk mendapatkan cahaya mata, sebaliknya lebih kepada meningkatkan keyakinan dan keselesaan terhadap penampilan diri.

"Apabila orang mengatakan kita gemuk dan kita sendiri tahu kita gemuk, jadi bila lagi kita akan bermula?

"Saya mahukan perubahan untuk diri sendiri kerana mahu lebih yakin dengan penampilan. Saya mahu kelihatan cantik, kemas dan berasa selesa setiap kali mengenakan pakaian.

"Bagi saya, keyakinan diri itu penting. Jadi, apa yang saya usahakan sekarang adalah untuk diri sendiri, bukan kerana mahu memenuhi kehendak suami," katanya.

Dalam pada itu, Janna berkata, usaha mencapai sasaran menurunkan berat badan daripada 77 kilogram kepada 67 kilogram dalam tempoh 90 hari menyebabkan dia mengambil keputusan menangguhkan sementara perancangan mendapatkan zuriat atau Trying to Conceive (TTC).

Katanya, dia turut menghentikan pengambilan ubat hormon buat sementara waktu bagi mengelakkan kemungkinan berlaku percanggahan dengan produk yang digunakan sepanjang program berkenaan.

"Perjalanan TTC saya akan dihentikan buat sementara waktu.

"Saya juga sudah berhenti mengambil ubat hormon kerana tidak mahu berlaku sebarang percanggahan dengan pengambilan produk," katanya.