KUALA LUMPUR: Selesa bertatih tanpa dibayangi pengaruh kakak dan abang ipar, Syazwan Shuhaimi, 35, tidak kisah jika perlu melalui jalan sukar bagi menempa nama sebagai penyanyi.
Untuk rekod, Eira Syazira adalah kakak, manakala Azad Jasmin pula abang ipar Syazwan.
"Jika ikutkan, perjalanan nyanyian saya amat berliku. Tetapi, saya anggap kesukaran akan mematangkan diri selain mahu mencari pengalaman.
"Rasanya ramai tidak tahu saya ada pertalian persaudaraan dengan Eira dan Azad. Saya tak kisah jika perhubungan kami diketahui atau sebaliknya.
"Cuma, saya tidak mahu menggunakan lesen sebagai adik selebriti untuk dapatkan sesuatu dengan cara mudah. Kakak dan abang ipar mahu saya mencabar diri melalui proses sebenar sebelum mencipta nama," katanya kepada BH Online.
Bagaimanapun, anak ketiga daripada enam beradik ini bertuah kerana Eira dan Azad sangat menyokong apa yang dilakukannya selama ini.
"Single Sang Purnama bersama Rocketfuel Entertainment direalisasikan atas dorongan abang ipar.
"Azad galakkan saya, selain menjadi peminat nombor satu dan pengkritik paling jujur," katanya yang kini rancak mempromosikan single terbaharu, Cinta Tak Mengerti.

Syazwan mula berjinak-jinak dengan dunia nyanyian pada 2015 menerusi single pertama berjudul Jika Itu.
"Ketika pembikinan single pertama, semuanya dilakukan sendiri. Ada yang anggap single Jika Itu gagal dan tak sedar kehadiran saya sebagai penyanyi.
"Saya akui, ada kekurangan, cuma, ia bukanlah penamat langkah saya," katanya yang masih menjalankan perniagaan rekaan grafik selain menyanyi.
Kata Syazwan, single Cinta Tak Mengerti ciptaan komposer Indonesia, Agie Prakasya dan Aldi Nada Permana juga terhasil dengan bantuan Azad.
"Mulanya, Azad menghantar mesej langsung di Instagram (IG) kepada komposer, Agie Prakasya meminta lagu ciptaannya untuk diberikan kepada saya.
"Dalam banyak-banyak demo lagu diberikan, single Cinta Tak Mengerti melekat dalam ingatan saya.
"Karya ini juga kisah peribadi penulis lagu yang meluahkan kesedihan akibat cinta yang tidak kesampaian. Dia menaruh harapan tinggi, namun, wanita disukai hanya menganggapnya sebagai sahabat baik," katanya.
Single Cinta Tak Mengerti sudah boleh dimuat turun di platform penstriman terpilih. Manakala, video muzik boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Rocketfuel Network.