Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 35

Undi selebriti pilihan anda mengikut kategori ABPBH yang telah dipertandingkan pada tahun ini

BERITA ABPBH

Syarikat produksi senarai hitam pengarah, pelakon

13 Oct 2021 | Fatin Farhana Ariffin

KUALA LUMPUR: Penerbit telefilem yang mencetuskan kontroversi apabila pengarah, penolong dan pelakon mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki dadah di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar, Perak, semalam, kesal niat membantu mereka mencari nafkah, dicemari insiden itu.

Penerbit Eksekutif daripada sebuah syarikat produksi yang diasaskan sejak sedekad lalu itu terkilan insiden membabitkan ketiga-tiga individu berkenaan mencemar reputasi diri dan syarikat.

Sehubungan itu, syarikat terbabit menggugurkan ketiga-tiga individu berkenaan daripada projek telefilem berkenaan biarpun penggambaran masih berbaki 20 peratus.

Penerbit berkenaan mendakwa tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang disahkan positif dadah.

"Sebenarnya, kalau boleh, saya tidak mahu ulas panjang. Saya serahkan kepada polis untuk mengambil tindakan selanjutnya.

"Ini adalah masalah peribadi, bukannya masalah produksi," katanya kepada BH Online.

Penerbit berkenaan memberitahu, dia tidak mahu menjamin ketiga-tiga individu berkenaan.

"Saya tidak akan mengikat jamin mereka, sebaliknya, menggugurkan ketiga-tiga individu berkenaan daripada projek telefilem ini serta-merta.

"Kami juga menyenarai hitamkan nama mereka daripada ditawarkan 'job'. Individu yang terbabit dalam kes penyalahgunaan dadah tidak akan diambil bekerja dengan syarikat produksi kami lagi," katanya.

Bagaimanapun, penerbit terbabit bersyukur babak membabitkan pelakon dalam telefilem berkenaan sudah selesai dirakamkan dengan babak membabitkan aktor berkenaan tidak banyak.

Tambahnya, pelakon terbabit hanya berlakon sehari dan sebaik selesai, dia diarahkan pulang ke Kuala Lumpur dengan segera.

"Sudah menjadi kemestian bagi sesiapa yang terbabit dengan produksi saya untuk pulang sebaik tugas selesai kerana kami mahu elak mereka berkumpul.

"Namun, tanpa pengetahuan kami, pelakon terbabit tidak pulang dan singgah ke 'homestay' pengarah.

"Kami fikirkan dia sudah pulang, sebaliknya, tidak. Pengarah terbabit pula tidak memaklumkan kepada kami mengenai perkara itu.

"Saya sangat kesal dengan sikap mereka. Niat saya adalah mahu membantu dan memberi peluang kepada pelakon dan pengarah lama.

"Saya tidak sangka mereka boleh berbuat demikian kepada kami," katanya.

Semalam, Niezam bersama pengarah, Mohd Latiff dan penolongnya, Saiful Zaidrin mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar atas pertuduhan memiliki dadah pada Ahad lalu.
Semalam, Niezam bersama pengarah, Mohd Latiff dan penolongnya, Saiful Zaidrin mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar atas pertuduhan memiliki dadah pada Ahad lalu.

Berikutan insiden itu, tempat pengarah dan penolongnya digantikan dengan individu lain.

"Sepatutnya, penggambaran sudah selesai. Namun, kami anjak dua hari. Tidak mengapa, saya akan cari pengarah lain untuk menyambung baki penggambaran telefilem ini," katanya yang tidak pernah berdepan insiden seumpama itu sejak terbabit dalam kerja penerbitan.

Sementara itu, beliau menjelaskan, isu pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) tidak membabitkan syarikat produksi, sebaliknya, pihak lain yang kebetulan menjalankan penggambaran di Kuala Kangsar.

"Saya tidak nafikan kerana isu langgar SOP ini, kami turut terkena 'tempias'. Disebabkan syarikat produksi terbabit, kami dan syarikat lain dihalau dari lokasi penggambaran.

"Alhamdulillah, kru dan artis saya semuanya tiada masalah jangkitan COVID-19. Selepas pulang ke Kuala Lumpur, kru dan artis menjalankan ujian calitan COVID-19 dan semuanya negatif," katanya.

Semalam, pelakon, Muhamad Niezam Mohd Zaidi bersama dua lagi individu membabitkan pengarah filem dan penolongnya, mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar atas pertuduhan memiliki dadah pada Ahad lalu.

Muhamad Niezam, 28; pengarah filem, Mohd Latiff Zami, 49; serta penolong pengarah, Saiful Zaidrin Ismail, 46; membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Mohd Shazmeer Zamhari.

Menurut kertas pertuduhan, Muhamad Niezam didakwa ada dalam milikannya 1.15 gram (g) dadah jenis kanabis di sebuah rumah di Persiaran Jati, Taman Chandan Putri, Kuala Kangsar, jam 7.15 pagi 10 Oktober lalu.

Mohd Latiff dan Saiful Zaidrin pula masing-masing didakwa memiliki 0.3g dadah jenis kanabis serta 0.38g dadah jenis methamphetamine pada waktu, tarikh dan di lokasi sama dalam pertuduhan ke atas Muhamad Niezam.

Mahkamah kemudian menetapkan ikat jamin RM3,000 ke atas Muhamad Niezam, Mohd Latiff (RM2,600) dan Saiful Zaidrin (RM3,200) masing-masing dengan seorang penjamin.

Mohd Shazmeer juga menetapkan tarikh 1 Disember depan untuk sebutan semula kes ketiga-tiga tertuduh sementara menunggu laporan kimia.

Muhamad Niezam dan Mohd Latiff didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Saiful Zaidrin didakwa mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.