Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 35

Undi selebriti pilihan anda mengikut kategori ABPBH yang telah dipertandingkan pada tahun ini

BERITA ABPBH

Syamsul sedia jumpa Aaron selesai isu filem TOG

24 Mar 2023 | Serimah Mohd Sallehuddin

KUALA LUMPUR : Pengarah filem The Original Gangster (TOG), Syamsul Yusof sedia bersemuka dengan Datuk Aaron Aziz bagi menyelesaikan isu pengguguran namanya daripada senarai pelakon naskhah yang dalam proses pembikinan itu.

Syamsul berkata, dia terbuka berjumpa Aaron untuk memulihkan keadaan atau berbincang mengenai projek filem akan datang.

"Alhamdulillah… Jumpa untuk apa? Kalau untuk berbaik, Insya-Allah.

"Saya tidak tahu apa masalah (Aaron). Cuma, saya doakan yang terbaik untuk dia. Terpulanglah kepada dia untuk cakap apa.

"Kalau ada projek filem akan datang pun boleh jumpa. Aaron tetap sahabat saya. Masalah yang timbul soal kerja semata-mata dan kita mesti bersikap profesional," katanya ditemui pemberita sejurus selesai proses perdamaian di bawah Jawatankuasa Pendamai (JKP) bagi menyelesaikan kemelut rumah tangga dengan Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di sini, hari ini.

Malam tadi, Aaron menerusi video yang dimuat naik di Instagram (IG) meluahkan kemarahan selepas Syamsul didakwa menggugurkan namanya daripada filem TOG atas alasan sudah berusia dan berisi.

Aktor dari Singapura itu mendakwa Syamsul enggan berjumpa dan beliau sudah membuat persediaan termasuk dalam aspek fizikal untuk membintangi TOG.

Dalam pendedahan itu, Aaron mendakwa sanggup menahan kesakitan menggunakan suntikan steroid untuk mendapatkan tubuh sasa dalam tempoh singkat.

Sementara itu, menyentuh mengenai proses JKP antaranya dan Puteri Sarah menemui jalan buntu, Syamsul meminta isteri pertamanya itu berhenti daripada terus membuka aibnya di media sosial termasuk dakwaan memukul beliau.

"Kalau tidak suka saya, kenapa sampai tahap memfitnah saya memukulnya.

"Jangan buat cerita fitnah yang tidak benar walaupun membenci saya sekali pun. Saya ada hubungi dan cakap sampai hati awak buat saya macam ini. Cuma saya tidak mahu panjangkan isu ini," katanya.

Diminta mengulas dakwaan Puteri Sarah masih menghubungi bekas kekasihnya yang berstatus suami orang, Syamsul enggan memberi reaksi dan memberi menunggu tarikh perbicaraan di mahkamah.

Selasa lalu, Syamsul memfailkan permohonan nusyuz terhadap Puteri Sarah di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Selangor.

Syamsul diwakili peguam syarie, Azmi Mohd Rais memfailkan permohonan nusyuz, jam 3.10 petang.

Syamsul dilaporkan memfailkan tuntutan nusyuz terhadap Puteri Sarah bukan sebab mahu membalas dendam, sebaliknya menyelamatkan rumah tangga.