PUTRAJAYA: Kisah yang berpaksikan peristiwa sebenar bukan sekadar mampu menghidupkan kembali lipatan sejarah, malah mempunyai kekuatan tersendiri untuk menyentuh emosi dan menarik penonton ke pawagam.
Keyakinan itu disuarakan pelakon Syafiq Kyle yang percaya filem berasaskan kisah benar mempunyai daya tarikan tersendiri, terutama apabila mengangkat perjuangan dan pengorbanan mempertahankan tanah air.
Menerusi filem terbaharu lakonannya, Takluk 2: OP Daulat, Syafiq berkata penonton bukan sahaja disajikan aksi ketenteraan, malah dibawa menyelami konflik pencerobohan di Lahad Datu, Sabah, yang mencatat sejarah hitam negara pada 2013.
Katanya, naskhah arahan Zulkarnain Azhar itu tidak sekadar bergantung kepada babak aksi dan peperangan untuk menarik perhatian, sebaliknya mengangkat mesej lebih besar mengenai pengorbanan serta kecintaan terhadap tanah air.
"Saya rasa itu antara tarikan filem ini. Hasil garapan Zulkarnain bukan sekadar menjual jalan cerita atau babak aksi, sebaliknya turut mengangkat tema pengorbanan dan cinta terhadap tanah air.
"Tema itu mungkin kedengaran ringkas kerana sudah kita pelajari sejak di bangku sekolah, tetapi Zulkarnain menterjemahkannya menerusi pendekatan aksi secara visual. Jadi, saya rasa itu antara kekuatan filem ini," katanya ketika ditemui pada malam gala dan tayangan perdana Takluk 2: OP Daulat di GSC IOI City Mall, di sini, baru-baru ini.
Mengambil contoh kejayaan filem terdahulu, Syafiq berkata sambutan terhadap Takluk: Lahad Datu yang meraih kutipan RM28 juta membuktikan penonton tempatan mempunyai minat terhadap naskhah yang mengangkat kisah perjuangan mempertahankan negara.
Katanya, pencapaian itu juga mencerminkan sokongan luar biasa rakyat Malaysia terhadap karya yang membawa mesej patriotisme.
"Kita dapat lihat sendiri bagaimana Takluk: Lahad Datu sebelum ini mendapat sokongan penonton sehingga meraih kutipan RM28 juta. Saya melihat pencapaian itu sebagai sokongan yang sangat luar biasa daripada rakyat Malaysia," katanya.
Bagaimanapun, Syafiq berpendapat filem yang diinspirasikan daripada kisah benar tidak semestinya perlu menuruti keseluruhan peristiwa asal secara terperinci, sebaliknya masih memerlukan sentuhan kreatif dan elemen dramatik bagi memastikan jalan ceritanya menarik.
Katanya, beberapa bahagian mungkin perlu diberikan olahan fiksyen atas keperluan penceritaan, namun keutamaan tetap diberikan kepada kekuatan naskhah untuk menarik perhatian penonton.
"Ada bahagian tertentu yang perlu diberikan sentuhan fiksyen atas sebab-sebab tertentu. Namun, perkara paling penting ialah naskhah itu menarik untuk ditonton.
"Saya rasa penonton Malaysia sudah boleh menerima karya berdasarkan kisah benar atau peristiwa sebenar. Kalau kita lihat platform penstriman sekarang, sudah banyak cerita biografi, kisah benar dan karya yang diinspirasikan daripada peristiwa sebenar ditawarkan.
"Jadi, saya percaya penerimaan itu sudah ada dan penonton tempatan bersedia untuk menyaksikan karya sebegini," katanya.
Takluk 2: OP Daulat, sekuel kepada Takluk: Lahad Datu yang ditayangkan pada 2024, kembali dengan skala aksi ketenteraan lebih besar menerusi kerjasama strategik bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Selain Syafiq, filem yang mula ditayangkan di pawagam seluruh negara esok itu turut menampilkan barisan pelakon popular termasuk Kamal Adli, Datuk Remy Ishak, Fadlan Hazim, Datuk Eman Manan, Nas-T, Luqman Hafidz, Taufiq Hanafi dan Anas Ridzuan serta Sara Ali.