Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36

Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36

BERITA ABPBH

Status 'Che Puan' tak halang Sarimah bekerja

10 Jun 2022 | Zaidi Mohamad

KUALA LUMPUR: Status isteri kepada cucu Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Ke-10, Tunku Nadzimuddin Tunku Mudzaffar tidak menjadi penghalang pengacara dan pelakon, Che Puan Sarimah Ibrahim, 44, aktif dalam dunia persada seni.

Biarpun timbul persepsi wanita kacukan Ireland-Melayu itu sudah memperlahankan aktiviti seni sejak berkahwin dan memiliki cahaya mata, namun, ia sekadar tanggapan.

Jauh di sudut hati, pengacara program The Sarimah Show di TV3 itu masih merindui dunia pengacaraan yang menjadi kecintaannya sejak lebih dua dekad lalu.

Tanpa berselindung, Sarimah yang pernah 'meledak' menerusi single Kini Kau Tiada pada 2001 hingga dinobatkan Artis Baharu Terbaik, Anugerah Industri Muzik (AIM) mengakui, cukup merindui untuk kembali mengendalikan program di kaca televisyen (TV).

"Saya akui, ada yang beranggapan dengan status saya tidaklah perlu terkejar-kejar ke lokasi penggambaran melakukan pelbagai kerja. Saya boleh duduk di rumah, pakai baju cantik atau bersenam dengan mengamalkan yoga mahupun pilates.

"Tetapi, jujurnya, saya cepat bosan. Saya tak nafikan, betapa bidang seni terutama pengacaraan sebati dalam diri.

"Saya jenis suka bercakap. Sehingga kini, saya masih ditawarkan mengendalikan program tertentu, tetapi bukan di kaca TV.

"Saya baru sahaja pulang dari Sarawak mengendalikan program kesihatan mental untuk 500 lelaki," katanya kepada BH Online ketika ditemui pada sidang media majlis pelancaran aplikasi FENIX360, baru-baru ini.

Baginya, kerinduan mengendalikan program di kaca TV hanya mampu dizahirkan sahaja.

"Pada akhirnya, ia bukan kuasa saya menentukan sama ada boleh muncul di kaca TV atau sebaliknya.

"Semuanya atas pilihan stesen TV, jadi saya kena akur. Stesen TV cuba memenuhi kehendak penonton yang mahukan hos baharu. Atau, hos yang sama.

"Tetapi, kita boleh melihat putaran terjadi apabila khidmat hos lama juga yang diperlukan. Saya juga bukan jenis kaki mengampu atau membodek untuk mendapatkan tawaran kerja, itu bukan cara saya.

"Saya juga bukan jenis selamba menulis komen dalam media sosial di bawah entri mereka yang berpengaruh dan berkuasa di stesen TV, seolah-olah berkawan akrab. Saya meletakkan profesionalisme mengatasi segala-galanya," katanya.

Sarimah kini lebih mengutamakan suami dan anak, jadi perlu mempertimbangkan setiap projek kerja yang ditawarkan. - Foto IG Sarimah Ibrahim
Sarimah kini lebih mengutamakan suami dan anak, jadi perlu mempertimbangkan setiap projek kerja yang ditawarkan. - Foto IG Sarimah Ibrahim

Tambah Sarimah lagi, dia hanya menuntut sikap profesional dengan pihak produksi atau stesen TV.

"Tiada istilah saya 'demanding'. Mungkin apabila tiada sikap profesional, saya pantas dibenci atau sebagainya.

"Hingga mungkin ada mempersoalkan niat saya datang hanya tunjuk muka atau berlagak diva. Kita takkan pernah tahu persepsi orang lain terhadap diri sendiri.

"Kena ada garis tertentu untuk membezakan soal kerja dan peribadi. Ada yang sanggup mengambil ringan dua perkara ini demi kepentingan peribadi," katanya.

Kata Sarimah lagi, bukan mudah untuk bertahan hingga tahap hari ini.

"Artis datang dan pergi, jadi, saya kena terus bijak menyesuaikan diri.

"Tiada istilah diva dalam diri saya. Saya bermula daripada bawah dan berdepan pergelutan sebelum menyerlah.

"Jika naik ketika zaman media sosial, barangkali ia akan jadi masalah berbeza sekiranya silap percaturan," katanya.

Bagi pengacara program The Disney Channel dan The Biggest Losser Asia itu, dia lahir pada zaman bermula hanya tepuk tangan selama berjam-jam sebagai penonton dan dibayar RM50.

"Jadi, saya tahu bagaimana getirnya untuk berada pada tahap hari ini. Sudah tentunya saya menghargai kesusahan yang datang sebagai pengalaman berharga," katanya.

Sarimah berkata, dia memikul tanggungjawab sebagai ibu, jadi, setiap tawaran terutama lakonan harus difikir beberapa kali.

"Apa yang menjadi keutamaan, status ibu. Apa sahaja dilakukan, kena fikir soal anak.

"Saya tak boleh menerima tawaran dengan melakonkan watak gila-gila atau sembarangan. Saya kena 'tone down', saya juga bukan anak dara lagi.

"Bayangkan, jika anak membesar dan membaca kisah bukan-bukan mengenai saya dalam internet. Saya kena fikir semua ini, jadi itulah perubahan besar yang harus saya lakukan," katanya sambil menyebut Alif Satar, Sherry Alhadad dan Ain Edruce sebagai pengacara pelapis yang baik.