Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36
Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36
Foto Hairul Anuar Abdul Rahim
KUALA LUMPUR : Belum memutuskan sama ada mahu membuat permohonan maaf kepada juri tetap, Mas Idayu, atas kontroversi tercetus, penyanyi Sissy Imann sebaliknya memberi tumpuan kepada persiapan konsert akhir, Ahad ini.
Ditemui usai konsert separuh akhir musim kedua Famili Duo, kelmarin, Sissy, 27, menjelaskan dia gagal menahan tangisan di pentas program realiti itu, minggu lalu, bukan disebabkan tidak boleh menerima teguran 'pedas' Mas Idayu.
Sebaliknya, akui Sissy, dia terlalu kecewa dengan prestasi minggu lalu sehingga terbawa emosi ke luar pentas.
"Saya tiada isu dengan Mummy kerana kami pernah bekerjasama pada sebuah program sebelum ini.
"Dalam kelantangannya, Mummy berhati mulia dan saya hormat Mummy sebagai individu berpengalaman.
"Apa yang berlaku minggu lalu tiada kena mengena dengan Mummy. Sebaliknya, lebih kepada rasa kecewa kepada diri sendiri apabila gagal menjadi penyanyi yang baik walaupun sudah hampir 10 tahun dalam industri seni.
"Saya sudah mengecewakan Naim kerana persembahannya minggu lalu sangat baik," katanya.
Ditanya lagi tidakkah rasa bersalah kepada Mas Idayu gara-gara insiden menangis di pentas menyebabkan netizen melemparkan kecaman terhadap penyanyi Cintaku 100% itu, Sissy berkata:
"Kita tengok dahulu macam mana. Memang sejak seminggu lalu, saya langsung tidak memegang telefon pintar atau hubungi sesiapa kecuali Naim.
"Saya juga tidak menyemak media sosial atau membaca apa-apa komen ditinggalkan.
"Kalau boleh, saya tidak mahu memikirkan apa yang berlaku pada minggu lalu bagi menjaga kesihatan mental saya," katanya.
Ditanya apakah reaksi ditunjukkan selepas insiden itu adalah gimik bagi melariskan jualan album sulungnya yang dirakamkan di Studio Abbey Road, London, Sissy, menyangkal dakwaan itu.
"Kalau gimik takkanlah saya jual album itu pada harga RM20 kerana memang tidak pulang modal.
"Ada pembeli dari Singapura, Sabah dan Sarawak. Jadi, kalau hendak diikutkan, harga yang diletakkan tidak berbaloi kerana kami perlu keluarkan kos penghantaran.
"Ramai juga pembeli daripada kalangan pelajar. Jadi, dakwaan konon saya buat begitu semata-mata gimik untuk melariskan album tidak benar," katanya.
Sementara pasangan Sissy, Naim berkata, mereka menyertai Famili Duo dengan hati terbuka serta tidak pernah berniat mengganggu tugas juri.
Justeru, Naim menjelaskan, mereka terbuka menerima kritikan sesiapa sahaja termasuk Mas Idayu.
Bagi Naim dan Sissy, setiap juri mempunyai input yang berguna untuk dijadikan bekalan dalam berdepan cabaran pentas akhir, malah, pada masa hadapan.
"Kami tidak mahu kacau tugas juri. Kehadiran kami adalah atas kapasiti penyanyi.
"Jadi, kami hanya cuba beri persembahan terbaik. Soal penerimaan kami serahkan pada khalayak untuk menilai.
"Soal tidak mahu Mummy beri komen, sebenarnya kami mengharapkan komen kedua-dua juri.
"Mummy dan Ajai masing-masing sangat berpengalaman dalam industri.
"Setiap kali mereka beri komen, ada sahaja input bermanfaat untuk kami pelajari.
"Jadi, kami memang perlukan komen semua juri," katanya.
Pada pentas separuh akhir, Sissy Imann dan Naim mempersembahkan lagu Pening yang dipopularkan Datuk M Daud Kilau dan Ezlynn.