Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36
Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36
KUALA LUMPUR: Sokongan orang sekeliling menjadi kekuatan kepada penyanyi Amir Masdi, 25, sepanjang menempuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), seterusnya Pelan Pemulihan Negara (PPN) ketika era pandemik.
Bagi jejaka kelahiran Selangor itu, perintah berkurung berlanjutan selama beberapa bulan membuatkannya merasakan diri terpenjara, namun, tanpa keluarga dan peminat mungkin akan menjadi lebih sukar mengharungi saat getir itu.
Bagaimanapun, juara program realiti Akademi Fantasia (AF) 2016 itu enggan merelakan perasaan negatif terus menghantui diri, sebaliknya cuba berfikiran positif dengan sokongan moral orang sekeliling.
Bagi menyalurkan rasa sunyi, bosan dan 'down' akibat keseorangan berdepan dengan PKP dan PPN, Amir muncul dengan single baharu berjudul Esok.
Video muzik Esok baru dilancarkan meneruskan saluran YouTube, Nova Music Videos, baru-baru ini.
Amir berkata, dia cuba menterjemahkan bagaimana seorang individu berdepan saat getir dalam kehidupan sepanjang PKP dengan memotivasikan diri agar keluar masalah yang membelenggu.
Menariknya, kata Amir, dia melakonkan sendiri watak individu yang melalui fasa sukar ketika PKP, selain menampilkan sebahagian besar ahli kelab peminat, AMpire.
"Jalan cerita video muzik ini dibuat sama seperti situasi PKP. Ia memaparkan kehidupan individu yang tinggal bersendirian sehingga cuba mencari sesuatu untuk memotivasikan diri.
"Dari situ, terhasillah single Esok. Saya melakonkan watak dalam video muzik kerana ingin menggambarkan situasi PKP.
"Namun, saya ada memasukkan babak panggilan video bersama ahli kelab, AMpire kerana ingin menyampaikan mesej masih beruntung menjadi Amir Masdi, masih ada yang mengambil kisah tahu kisah saya," katanya kepada BH Online.
Bercerita lanjut mengenai idea video muzik Esok, Amir berkata, ia diinspirasi daripada kisah kenalan dan disampaikan peminat menerusi mesej langsung dalam Instagram.
"Saya akui ramai rakan dan peminat saya tinggal sendirian, terkesan dengan situasi pada PKP. Kebanyakan mereka tinggal berjauhan dengan keluarga menyebabkan sunyi dan cepat 'down'.
"Semua perkongsian saya jadikan inspirasi untuk dipaparkan dalam muzik video Esok.
"Sebelum menulis jalan cerita muzik video Esok, saya bayangkan bagaimana jika saya berada di tempat mereka? Apa yang saya rasa?
"Bagaimana kehidupan saya dan banyak perkara bermain dalam fikiran. Dari situ, saya meletakkan diri dalam kehidupan mereka, sekali gus cuba fahami perasaan dilalui.
"Alhamdulillah, kebanyakan berkongsi cerita tiada yang sampai bertindak di luar batasan. Mereka hanya meluahkan rasa kurang semangat, sedih, emosi terganggu dan tidak cukup duit untuk 'survive'.
"Malah, ada orang yang jenis 'happy go lucky', tetapi masa PKP emosi mereka menjadi tertekan," katanya.
Mengenai single Esok, ia adalah karya ciptaan bersama Shazee Ishak, Audi Mok dan Amir.
Esok adalah single kelapan Amir selepas Pemilik Cinta, Waktu, Puas, Kau Sakiti, Asmara, Biru Malam (kolaborasi bersama Chubb-E) dan Hari Ini Hari Raya.
Single bergenre moden rock terbitan Nova Music itu dirakam sejak awal tahun ini, namun, hanya dilancarkan secara rasmi pada 27 Ogos lalu.
"Lirik single Esok mengikut konsep dan idea daripada saya. Saya mahu sampaikan sesuatu yang boleh memotivasikan diri dan memberi semangat berikutan sepanjang PKP ketika suasana suram akibat pandemik yang berpanjangan.
"Jadi, menerusi lirik Esok saya memujuk hati dan menenangkan orang. Shazee faham apa saya cuba sampaikan dan menulis liriknya.
"Single Esok sudah disiapkan, sejak awal tahun ini. Secara kebetulan, saya juga ada beberapa lagu lain untuk dilancarkan sebagai single baharu.
"Mengikut perancangan asal, saya ingin mengeluarkan single lebih rancak. Tetapi, selepas perbincangan, saya dan pasukan sepakat melancarkan single Esok terlebih dahulu," katanya.
Amir berkata, dia bersyukur single Esok mendapat maklum balas positif hingga berada dalam carta Top 40 stesen radio popular Era dan Suria FM, selain menjadi playlist utama perkhidmatan penstriman muzik Spotify, Apple Music dan JOOX.
"Alhamdulillah, single Esok mendapat sambutan baik. Selain maklum balas peminat, saya juga mendapat respons yang gembira daripada rakan artis dan pemuzik.
"Kebanyakan suka dengan keunikan singe ini. Mereka memuji single Esok ada nilai sentimental.
"Diakui karya ini bukan sepenuhnya 'trademark' saya, sebaliknya ada sisi berbeza diketengahkan. Malah, saya tidak mahu fokus pada vokal, lebih kepada mesej lagu," katanya.