Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36

Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36

BERITA ABPBH

Shiha tak sempat fikir soal kahwin

18 Feb 2023 | Serimah Mohd Sallehuddin

KUALA LUMPUR: Penyanyi Shiha Zikir, 36, menafikan bakal mendirikan rumah tangga dengan kekasih yang juga pengurusnya, Kamarul Arifin Baharun atau Arul, 38, tahun ini.

Sebaliknya, pemenang trofi Persembahan Terbaik, Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-37 menerusi lagu Irama itu hanya menjawab pertanyaan wartawan mengenai perancangan berkahwin memandangkan hubungan cinta sudah berlarutan sejak 14 tahun lalu.

"Saya tak buat apa-apa pengumuman. Jika ditanya jawapan saya tetap sama, insya-Allah.

"Soalan bila kahwin ini boleh dikatakan setiap masa diajukan kepada saya. Dan jawapan saya tetap sama, insya-Allah sekiranya sudah tiba masa membina rumah tangga.

"Jujurnya, saya terlalu sibuk dengan kerjaya sehingga tidak sempat memikirkan soal jodoh," katanya kepada BH Online.

Penyanyi jolokan Rossa Malaysia itu berkata, dia tidak pernah menyembunyikan hubungan cintanya dengan Arul sekiranya ada yang bertanya.

Bagaimanapun, Shiha berkata, dia memilih untuk tidak terlalu berkongsi soal kehidupan peribadi dalam media sosial.

Kesibukan Shiha berganda selepas menguruskan syarikat produksi yang kini berjinak-jinak dalam dunia penerbitan filem. - Foto IG Shiha Zikir
Kesibukan Shiha berganda selepas menguruskan syarikat produksi yang kini berjinak-jinak dalam dunia penerbitan filem. - Foto IG Shiha Zikir

"Saya kurang selesa berkongsi soal peribadi. Disebabkan itulah, saya hanya memuat naik foto berkaitan kerja.

"Tetapi, jika ada yang bertanya, saya tetap akan bercakap jujur dan tidak akan menyembunyikannya," katanya.

Pemenang trofi Pop Asia Terbaik, InterContinental Music Awards (ICMA) 2021 di Los Angeles, Amerika Syarikat itu berkata, kesibukannya berganda selepas menguruskan syarikat produksi, Shiha Zikir Empire Holding yang kini berjinak-jinak dalam dunia penerbitan filem.

"Jadual saya terlalu sibuk kerana perlu menyiapkan filem Lagenda Kaling.

"Selain itu, saya juga perlu memberikan perhatian kepada kerjaya lakonan dan nyanyian termasuk single baharu.

"Namun, saya akan umumkan jika sudah tiba masa. Setakat ini, saya tidak terfikir mengadakan sidang media.

"Saya bukan nama besar hingga perlu mengadakan sidang media, cuma saya akan umumkan bila tiba masa," ujar Shiha.