Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36
Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36
KUALA LUMPUR : Tiada yang lebih disyukuri pelakon Shasha Abedul, 26, apabila berpeluang menyambut Ramadan dan mengerjakan ibadat umrah di Tanah Suci Makkah selama sebulan, sejak Khamis lalu.
Shasha yang mengosongkan komitmen seni sepanjang Ramadan, turut meraikan Syawal di Tanah Suci Makkah dan dijadual pulang ke tanah air pada hari raya keempat.
Shasha berkata, Ramadan kali ini cukup berbeza apabila berpeluang menjadi tetamu Allah dan berjauhan dengan keluarga.
"Ini kali pertama saya bercuti sepanjang Ramadan. Saya pasang niat untuk tunaikan umrah selama sebulan, namun, ketika itu, tidaklah saya betul-betul merancang.
"Apabila lihat kos umrah pada dua minggu terakhir Ramadan sama seperti berada di Tanah Suci selama sebulan, saya pilih untuk berada di Tanah Suci sepanjang Ramadan.
"Alhamdulillah, tahun ini saya dapat tunaikan umrah bersama ibu saudara selama sebulan. Insya-Allah, kami akan sambut Aidilfitri di Tanah Suci dan pulang ke Malaysia pada hari raya keempat," katanya kepada BH Online.
Plakon drama Lelaki Lingkungan Cinta itu turut membuat persiapan fizikal dan mental berikutan menetap di Makkah dan Madinah selama sebulan.
"Saya tidak pernah buat umrah selama sebulan. Ramai yang hendak pergi ke sana. Saya diberitahu keadaan di Makkah dan Madinah padat. Lantas, saya buat persediaan daripada segi mental dan fizikal.
"Sebelum berangkat, saya bersenam setiap hari. Di sana, kita perlu cergas apatah lagi bulan puasa.
"Saya tidak tahu apa yang boleh dijangka kerana ini kali pertama saya menetap lama di Makkah dan Madinah. Insya-Allah, diharap semuanya lancar. Dalam teruja, saya juga berdebar kerana macam-macam perkara boleh terjadi," katanya.
Selain Shasha, penyanyi Aina Abdul dan pelakon Nadya Syahera juga menjadi antara selebriti tanah air yang menunaikan umrah pada Ramadan kali ini.
Baru-baru ini, Shasha menghadiri sidang media Kempen Ramadan Raya 2023 anjuran Media Prima Berhad (MPB) di Studio 3, Glenmarie, Shah Alam, bagi mempromosikan filem Seindah Kasih The Movie.
Seindah Kasih The Movie boleh distrim menerusi platform penstriman Tonton mulai 12 April depan. Selain Shasha, filem itu dibintangi Mimi Lana, Syafiq Kyle, Siti Saleha, Anas Ridzuan dan Luqman Hafidz.
Filem ini mengisahkan enam warga kerja dan peminat industri hiburan Malaysia. Kesibukan kerja di industri hiburan menjadikan tugasan harian mereka lebih mencabar pada Ramadan dan Syawal.