Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 35
Undi selebriti pilihan anda mengikut kategori ABPBH yang
telah dipertandingkan pada tahun ini
KUALA LUMPUR: Mungkin penonton di rumah tidak tahu penyanyi Khai Bahar terpaksa menunggu lebih kurang 20 minit di atas pentas berikutan masalah teknikal ketika mahu mendendangkan lagu Sengsara pada Separuh Akhir Muzik Muzik 37 (SFMM 37), baru-baru ini.
Bagaimanapun, Khai melihat sebagai satu perkara positif apabila penantian itu membuatkannya dapat mengawal perasaan gugup.
"Awalnya, saya gementar, tetapi bila masalah teknikal mengambil masa, perasaan gementar beransur hilang.
"Mungkin sebab agak lama berada atas pentas, jadi perasaan gementar akhirnya dapat dikawal," katanya kepada BH Online pada sidang media SFMM 37 di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, baru-baru ini.
Mengulas perasaannya apabila lagu Sengsara layak melangkah ke pentas Anugerah Juara Lagu Ke-37 (AJL 37) yang bakal berlangsung pada 12 Februari depan, Khai berkata, dia yakin lagu itu layak berikutan keunikannya.
"Sebenarnya, saya dan pasukan banyak mengeluarkan lagu, setiap tahun. Ada masanya sehingga tiga hingga empat lagu.
"Jadi, orang kata tengok lagu mana yang melekat di AJL. Alhamdulillah, lagu Sengsara layak melangkah ke pentas AJL 37. Saya tidak kisah menghasilkan banyak lagu sebab saya suka mencuba pelbagai genre baharu.
"Sejak awal, mengeluarkan lagu Sengsara, dalam hati saya sudah terdetik lagu ini boleh 'pergi'. Lagu ini bukan ciptaan saya, tetapi dihasilkan oleh John Jeeves, Firdaus Rahmat dan Omar K.
"Secara peribadi, saya yakin lagu Sengsara layak dan AJL 37 memang sasaran saya," katanya.
Tambah Khai, lagu Sengsara adalah lagu runut bunyi untuk filem Dendam Penunggu dan elemen seram diselitkan membuatkannya lebih unik.
"Saya terima tawaran lagu runut bunyi kerana ia adalah projek istimewa untuk filem. Malah, karya ini juga agak berlainan daripada lagu sebelum ini," katanya yang akan muncul dengan single duet berjudul Pejam bersama Adira, tidak lama lagi.