KUALA LUMPUR: Gelombang nostalgia Sembilu bakal kembali membadai emosi peminat apabila kisah cinta tiga segi yang pernah mencetuskan fenomena itu dihidupkan semula menerusi konsert berskala mega, Januari depan.
Mengangkat tema The Last Reunion, konsert Sembilu 2.0: The Last Reunion Live In Concert dijadualkan berlangsung di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 16 Januari 2027.
Penganjuran itu menyusul kejayaan konsert Sembilu pada Februari lalu yang mendapat sambutan hangat peminat, sekali gus mendorong TJTM Entertainment membawa kembali fenomena berkenaan ke pentas lebih besar.
Pertemuan kali ini dijanjikan lebih istimewa apabila menghimpunkan kembali kenangan yang pernah mencipta sejarah dalam industri hiburan tanah air, menerusi lagu, kisah cinta, konflik dan persahabatan yang dekat di hati peminat.
Meneruskan momentum kejayaan edisi terdahulu, Sembilu 2.0 bakal tampil dengan peningkatan dari segi skala produksi, konsep persembahan, susunan muzik serta pengalaman hiburan yang lebih eksklusif.
Pemilihan Stadium Merdeka sebagai lokasi konsert turut mencerminkan aspirasi penganjur untuk membawa konsert berkenaan ke tahap lebih tinggi, selain memberikan pengalaman persembahan yang lebih gah dan sukar dilupakan.
Lebih mencuri perhatian, penganjur turut menjanjikan elemen kejutan menerusi barisan artis yang bakal menjayakan konsert berkenaan.
Bagaimanapun, identiti artis terbabit masih dirahsiakan buat masa ini bagi mengekalkan keterujaan peminat menjelang pengumuman rasmi.
Peminat juga boleh menjangkakan rangkaian lagu ikonik yang pernah menjadi sebahagian daripada perjalanan filem Sembilu, selain susunan muzik yang diperbaharui dan pilihan lagu lebih mantap.
Setiap persembahan dirancang untuk menghidupkan kembali momen romantis, konflik, persahabatan dan emosi yang menjadikan Sembilu sebuah karya yang terus dekat di hati peminat hingga hari ini.
Penganjuran Sembilu 2.0 diterajui TJTM Entertainment, syarikat hiburan di bawah naungan pereka fesyen terkenal, Ezuwan Ismail.
Ezuwan sebelum ini turut menerajui penganjuran konsert Sembilu serta 40 Dekad Fauziah Latiff yang berlangsung di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).
Jualan tiket rasmi akan dibuka mulai esok, jam 12 tengah hari menerusi platform ilassotickets
Harga tiket ditawarkan mengikut kategori bermula serendah RM159 hingga RM1,399.
Bagi menghargai peminat dan mengutamakan keselesaan penonton, penganjur menawarkan beberapa keistimewaan termasuk kategori kusyen istimewa percuma bagi setiap pembelian tiket di luar kategori arena (Pasrah, Setiaku Di Sini, Cinta Abadi, Madah Berhelah dan Puncak Kasih).
Diskaun lima peratus untuk pembelian awal selama seminggu bermula tarikh jualan tiket dibuka manakala potongan 10 peratus khusus untuk pembeli tiket konsert Sembilu terdahulu.