KUALA LUMPUR: Hampir sembilan tahun tersimpan sejak dirakamkan pada 2017, single terbaharu penyanyi Haiza Hanafi berjudul Pencuri akhirnya menemui pendengar selepas beberapa kali tertangguh akibat komitmen kerjaya dan pandemik COVID-19.
Lagu ciptaan Aepul Roza itu sebenarnya sudah disiapkan selepas Haiza menyertai program Duo Star, namun perancangan untuk melancarkannya tidak dapat direalisasikan mengikut jadual asal.
Selepas menyusun semula perancangan pada 2023, Haiza akhirnya memilih 2026 sebagai waktu paling sesuai untuk memperkenalkan karya berkenaan kepada pendengar.
"Pada asalnya lagu ini tidak mempunyai tajuk. Selepas mendengarnya berkali-kali, saya merasakan Pencuri paling sesuai.
"Saya mahu tampil dengan naskhah lebih santai, tidak tergesa-gesa dan tidak membuatkan pendengar penat ketika menghayatinya," katanya.
Calon Penyampai Radio Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-38 itu berkata, proses rakaman berjalan lancar dan berjaya diselesaikan dalam tempoh kurang tiga jam.
Bagaimanapun, Haiza mengakui perlu lebih berhati-hati ketika menyampaikan lagu berkenaan memandangkan dirinya lebih terbiasa menyanyikan lagu berentak rancak.
Katanya, Aepul turut memberi perhatian terhadap sebutan setiap perkataan bagi memastikan penyampaian lagu itu benar-benar jelas dan tepat.
"Contohnya, perkataan 'saat' dalam lirik 'Saat demi saat berlalu'. Aepul menegur sebutan saya supaya jelas dan tidak kedengaran seperti perkataan lain," katanya.
Pencuri mengetengahkan konsep pop elektronik dengan sentuhan dangdut moden atau hipdut yang menggabungkan bunyi muzik kontemporari dengan elemen dangdut.
Aepul berkata, gabungan itu bertujuan menghasilkan muzik segar yang mudah melekat dalam ingatan, selain dekat dengan selera pendengar muzik Melayu.
Lagu berkenaan mengisahkan wanita yang jatuh cinta pandang pertama sehingga perasaannya menjadi tidak keruan apabila hatinya dicuri.
Menurut Aepul, cabaran utama ketika menghasilkan lagu itu adalah mengimbangi elemen muzik moden dengan melodi yang mudah diterima pendengar.
Malah, lagu berkenaan dianggap mendahului trend muzik ketika mula dirakamkan pada 2017, ketika genre berkenaan belum mendapat perhatian meluas.
Katanya, keadaan itu menjadikan Pencuri satu eksperimen muzik yang agak berani ketika dihasilkan.
Selain lagu, muzik video Pencuri turut menampilkan kesinambungan cerita menerusi kemunculan pelakon Ropie sebagai hero.
Haiza berkata, Ropie dipilih kerana sudah lama mengenalinya, selain menyifatkan pelakon itu sebagai individu yang komited dan menepati masa sepanjang penggambaran.
Menariknya, Pencuri turut membawa penonton kembali kepada kisah awal perkenalan mereka sebelum kejadian yang dipaparkan dalam muzik video Young & Gentleman.
"Konsepnya ialah 'Siapa Dia Sebelum Dia'. Pencuri menjadi episod pertama yang menceritakan bagaimana semuanya bermula," kata penyampai radio Kool FM itu.
Haiza berharap single berkenaan mendapat sambutan baik dan mampu dinikmati peminat daripada pelbagai lapisan usia.
Single Pencuri kini boleh didengari menerusi pelbagai platform penstriman digital, sementara muzik videonya boleh ditonton di YouTube Indigital Music.