Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36
Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36
KUALA LUMPUR: Selepas mencetuskan fenomena dengan single Swipe, penyanyi kelahiran Singapura, Alyph tampil dengan karya baharu berjudul Check ciptaan sendiri.
Single Check sudah dilancarkan di semua platform digital syarikat rakaman, Def Jam SouthEast Asia sejak 10 Februari lalu.
Alyph atau nama sebenar, Muhammad Alif Abdullah, 33, berkata single Check mahu memberi kesedaran kepada pendengar supaya sentiasa membuat penilaian terhadap diri sendiri.
"Check adalah lagu yang diharapkan dapat mengingatkan orang ramai untuk sentiasa 'check' atau memastikan diri dalam keadaan baik.
"Untuk melaksanakan sesuatu itu bukanlah dengan menetapkan segala-galanya dalam kepala sendiri. Sebaliknya, anda juga harus memastikan persekitaran, tenaga dan orang di sekeliling sama searah dan sependapat," katanya kepada BH Online.
Penyanyi yang sudah menceburi bidang muzik seawal usia 17 tahun itu berkata, lagu Check membawa banyak pesanan bijaksana dan penilaian yang datang bersama pengalaman sejak berkarya.
Malah, Alyph berharap Check dapat meneruskan rentak kecemerlangannya sejak menceburi dunia muzik.
"Sekarang saya hanya bekerja keras untuk menyiapkan sebanyak mana lagu yang sempat dengan setiap peluang yang ada. Saya anggap 2023 adalah tahun terbaik untuk memperluaskan fenomena yang sudah dicipta melalui Swipe.
"Ada album yang sedang disiapkan. Ini adalah album yang menampilkan lagu mudah dinikmati, namun, setiap dendangan ada maksud mendalam mengenai erti kehidupan,
"Untuk menghasilkan karya muzik yang berterusan, ia memerlukan kerja yang banyak. Usaha ini harus dilaksanakan dengan fikiran tenang dan tenaga yang wajar.
"Kejayaan Swipe hanya sekadar suatu pengesahan, namun, kerja tetap bersambung. Kadangkala ia membantu saya untuk tahu bahawa saya sedang melakukan sesuatu yang betul," katanya.
Sebelum ini, lagu Swipe meraih 2.8 juta tontonan di YouTube dan 1.6 juta strim di Spotify selepas sebulan dilancarkan. Swipe turut mendapat perhatian di aplikasi TikTok dengan 1.7 juta video menggunakan lagu berkenaan.