Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36

Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36

BERITA ABPBH

Selepas suami, Anita kehilangan ibu

07 May 2022 | Serimah Mohd Sallehuddin

KUALA LUMPUR: Belumpun terubat kesedihan atas pemergian arwah suami, pelakon Anita Baharom kini kehilangan bonda tersayang, Allahyarham Wirmah Pawanchee, 74, yang menghembuskan nafas terakhir di Sungai Petani, Kedah, semalam.

Berkongsi berita duka menerusi laman Instagram, pelakon drama Dunia Baru The Movie dan Keluarga Iskandar itu memberitahu, arwah ibunya terlantar sejak November, tahun lalu akibat penyakit sawan.

"Arwah terlantar selepas keluar hospital, sejak November lalu. Namun, arwah masih sedar dan saya sempat memohon maaf kepadanya.

"Bagaimanapun, keadaan kesihatan arwah semakin merosot, sejak sebulan lalu. Nasib baik saya masih berada di kampung. Kalau ikutkan, saya merancang pulang ke Shah Alam, semalam.

"Namun, seolah-olah ada perkara menghalang menyebabkan saya melengah-lengahkan kepulangan.

"Siapa sangka ia petanda saya akan kehilangan arwah ibu. Seorang lagi 'syurga' pergi meninggalkan saya, walaupun sudah bersedia kehilangan arwah, namun saya tetap takut menghadapi kehilangan ini," katanya kepada BH Online.

Berkongsi berita duka menerusi laman IG, Anita berada di sisi arwah ibunya ketika menghembuskan nafas terakhir, semalam. - Foto IG Anita Baharom
Berkongsi berita duka menerusi laman IG, Anita berada di sisi arwah ibunya ketika menghembuskan nafas terakhir, semalam. - Foto IG Anita Baharom

Anita berkata, sepanjang terlantar, arwah dijaga oleh abangnya, manakala dia dan adik-beradik lain menyokong daripada segi kewangan dan perubatan.

Allahyarham Wirmah dikebumikan Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Amin Sungai Layar, Kedah, pagi ini.

Terdahulu, Anita kehilangan arwah suami, Mohd Ismadi Ismail akibat penyakit kencing manis, Januari lalu.

Hasil perkongsian hidup selama 16 tahun, mereka dikurniakan tiga cahaya mata, Syifa Dhia Nurina, Mohamad Dhia Iskandar dan Mohamad Dhia Mikail.