Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36

Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36

BERITA ABPBH

Selepas dikecam muat naik video ular atas sangkar kucing, ini penjelasan Aaron

10 May 2023 | Serimah Mohd Sallehuddin

KUALA LUMPUR: Sebagai pencinta kucing dan memiliki sembilan kucing peliharaan, pelakon dari Singapura, Datuk Aaron Aziz mendedahkan tidak tergamak menganiaya haiwan comel itu.

Ini berikutan pelakon filem Abang Long Fadhil itu menerima kecaman hebat apabila membuat video live ular sawa di atas sangkar anak kucing.

Malah, tindakannya turut mendapat perhatian Persatuan Haiwan Malaysia (PHM) yang menegur perbuatannya yang disifatkan tidak sensitif dengan persekitaran dan boleh mengundang trauma kepada kucing.

Bagaimanapun, pelakon berusia 47 itu tampil menjelaskan perkara yang berlaku menerusi video berdurasi hampir empat minit di Instagram miliknya, semalam.

Aaron mengakui kesilapannya dan memberi alasan dia berbuat demikian kerana teruja kali pertama berlakon bersama ular.

Namun, katanya, sebelum melakonkan babak berkenaan, dia beberapa kali bertanya kepada pemilik ular adakah tindakan meletakkan ular atas sangkar akan membahayakan kucing.

"Silap saya buat 'live', tetapi ini kali pertama saya berlakon dengan ular, jadi saya terlalu ghairah.

"Benda yang tiada dalam video adalah saya bertanya berkali-kali kepada pemilik ular, kucing macam mana? Tidakkah ular akan mengganggu kucing.

"Tetapi menurut pemilik ular, tidak. Ini kerana ular hanya makan arnab dan sepanjang ular berada atas sangkar, saya dapat lihat ibu kucing langsung tidak menunjukkan reaksi terancam seperti mengeluarkan bunyi 'hiss', manakala anak-anaknya pula tidur dengan lena," jelas Aaron.

Aaron lega terselamat selepas melakukan aksi dililit ular pada leher ketika penggambaran.
Aaron lega terselamat selepas melakukan aksi dililit ular pada leher ketika penggambaran.

Tambah Aaron, sepanjang penggambaran matanya tidak lepas daripada memerhatikan kucing-kucing bagi memastikan mereka selamat.

"Lagipun, kami ada 11 orang yang bertanggungjawab untuk menjaga keselamatan kucing dan ular sepanjang di lokasi.

"Anda tidak nampak macam mana berkali-kali saya bertanya kepada pengarah sama ada kucing itu okay atau tidak.

"Malah, ada satu benda pengarah minta saya lakukan, tetapi saya tidak sampai hati hendak buat, tetapi orang tidak tahu. Sebaliknya, orang hanya tahu mengecam sahaja," luah Aaron kesal.

Ujar Aaron lagi, dia menerima cemuhan sekiranya ada yang ingin memaki dan mengatakannya bodoh.

"Siapa nak maki, nak cakap bodoh ke apa, silakan…

"Saya ada sembilan ekor kucing peliharaan, jadi tidak mungkin saya sanggup menzalimi mereka," katanya lagi.

Aaron turut menjelaskan kenapa dia mengucapkan rasa syukur dalam video itu.

Menurutnya, dia lega terselamat selepas melakukan aksi dililit ular pada leher.