KUALA LUMPUR: Pelakon Pablo Amirul, 36, kini giat menghasilkan kandungan menerusi platform digital, YouTube sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.
Kata Pablo, dia menghasilkan kandungan dan memuat naik sendiri dalam salurannya, Pab TV atau Pablo Amirul Broadcasting TV.
"Seperti anak seni lain, saya juga antara yang terjejas pada fasa PKP. Disebabkan itu, kini saya meneroka platform digital, YouTube.
"Kini saya berjinak menjadi YouTuber dan saya mempunyai saluran saya sendiri iaitu, Pab TV. Saya merasakan YouTube adalah satu platform baharu yang boleh meraih berjuta-juta penonton secara percuma dan singkat.
"Untuk stesen televisyen dapat jutaan penonton, mengambil masa bertahun-tahun, tetapi platform digital pula tidak mengambil masa lama. Jadi, saya nampak potensi di situ.
"Saya bukan buat eksperimen sosial, tetapi saya adalah pelakon. Saya tahu apa itu sistem bunyi, pencahayaan dan sebagainya. Jadi, saya menggunakan ilmu yang ada untuk menghasilkan kandungan buat tontonan di YouTube," katanya kepada BH Online.
Tambah Pablo, dia makin seronok kerana turut memberi ruang kepada rakan artis dan kru di balik tabir untuk terbabit sama
selepas setahun mengusahakannya.
"Ia adalah impian saya untuk mempunyai sistem sebegini, bagi membantu rakan dalam industri seni.
"Alhamdulillah, saya bekerjasama dengan rakan artis dan kru untuk menghasilkan kandungan di Pab TV," katanya sedang menyiapkan filem untuk ditayangkan di saluran berkenaan.

Sementara itu, Pablo gembira apabila dua filem lakonannya, Belaban Hidup: Infeksi Zombie dan KL Vampires turut disenaraikan antara 55 filem yang bertanding menerusi Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-31.
Kata Pablo, selepas membintangi 24 filem, itu adalah kali pertama filemnya disenaraikan dalam FFM31.
"Ini kali pertama saya dicalonkan dalam FFM31, sudah tentu saya teruja. Tetapi, apabila melihat senarai pelakon dan filem hebat bertanding, saya merasakan sudah disenaraikan di kelompok lima teratas pun sudah cukup bersyukur.
"Menang atau kalah, belakang cerita kerana apa yang lebih penting adalah kehadiran Pablo Amirul dihargai oleh industri.
"Jika bercakap soal harapan mestilah ada, tetapi apabila sudah dicalonkan, ia satu rezeki. Harapan saya agar dapat meraikan kemenangan bersama rakan lain dalam anugerah ini," katanya.
Mengulas kekuatan filem Belaban Hidup: Infeksi Zombie, Pablo berkata, penggunaan bahasa Iban menerusi filem itu membuatkannya dipandang tinggi.
"Menerusi filem itu, saya perlu bertutur dalam bahasa Iban. Jadi, saya rasa ini adalah kekuatan yang mana ia mengetengahkan budaya dari Borneo.
"Saya bukan berasal dari Sarawak, tetapi pengarah menyuruh saya berlakon dan bertutur bahasa Iban tanpa menghadiri kelas. Esok nak menjalani penggambaran, hari ini saya baru berlatih.
"Sudah tentu saya tertekan, tetapi bertuah ramai orang Sarawak bertutur bahasa Iban ketika penggambaran. Ia sekali gus membantu saya menguasai bahasa ini," katanya.