Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36
Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36
KUALA LUMPUR: Menteri dan kepemimpinan baharu yang bakal menerajui industri perfileman serta muzik digesa menyegerakan penubuhan Perbadanan Industri Muzik Malaysia (PIMM) yang pernah diluluskan Kabinet pada 19 Julai tahun lalu.
Ini berikutan status PPIM yang berperanan sebagai badan bertanggungjawab menjaga kepentingan industri muzik tanah air masih tergantung sehingga hari ini.
Penubuhan PPIM antara usaha Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) selaku badan memiliki kepakaran dengan rekod lebih 40 tahun dalam industri muzik tempatan yang membentangkan cadangan kepada kerajaan, tahun lalu.
Mengulas adakah masih menaruh harapan melihat penubuhan PIMM, Pengerusi RIM, Rosmin Hashim, berkata perkara itu diserahkan kepada pimpinan baharu Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM).
"Terpulang kepada menteri baharu sama ada mahu meneruskannya atau tidak. Kami akur kerana prosesnya agak kompleks untuk menubuhkan sebuah perbadanan.
"Ia juga memerlukan kelulusan di Parlimen. Namun, apa yang penting, jawatan kuasa di bawah K-KOMM seperti Majlis Penasihat Perfileman dan Muzik boleh mainkan peranan sama.
"Cuma, fungsinya bukanlah seperti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) kerana ia hanyalah sebuah jawatankuasa," katanya kepada BH Online.
Rosmin berpendapat, penubuhan Majlis Penasihat Perfileman dan Muzik juga dilihat sebagai alternatif kepada PIMM.
Katanya, Majlis Penasihat Perfileman dan Muzik mampu menjalankan peranan seperti PIMM dalam memberikan input ataupun inisiatif yang perlu dilaksanakan kerajaan dalam penambahbaikan industri muzik.
"RIM sedia maklum, untuk menubuhkan PIMM adalah satu tugas agak rumit. Lagipun, sehingga hari ini, statusnya masih tergantung kerana belum mendapat kelulusan di Parlimen.
"Tambahan pula, kita masih menantikan menteri baharu. Sudah tentu akan mengambil masa yang agak lama untuk proses mendapat kelulusan dan sebagainya.
"Sebagai salah seorang jawatankuasa Majlis Penasihat Perfileman dan Muzik, saya melihat majlis itu juga mempunyai fungsi lebih kurang sama dengan PIMM.
"Majlis penasihat boleh menjadi saluran untuk jawatan kuasa memberikan cadangan atau input kepada kerajaan dalam melaksanakan penambahbaikan terhadap industri muzik," katanya.
Kenyataan dikeluarkan Rosmin dilihat selari dengan apa yang dinyatakan bekas Menteri K-KOMM, Tan Sri Annuar Musa ketika mengumumkan Majlis Penasihat Perfileman dan Muzik yang dipengerusikan oleh Datuk Khaidhirah Abu Zahar pada September lalu.
Annuar dilaporkan berkata, Majlis Penasihat Perfileman dan Muzik berfungsi memberikan pandangan kepada kerajaan dan pemain industri bagi membantu memajukan industri kreatif dari aspek sumbangan dalam ekonomi dan peluang pekerjaan, terutama kepada belia.
Sehubungan itu, Rosmin berharap, peranan majlis penasihat itu akan dapat dikekalkan walaupun berlaku perubahan pimpinan kerajaan, termasuk pertukaran menteri.
"Seramai 20 penggiat seni, masing-masing 10 dalam industri perfileman dan 10 dalam muzik yang menganggotai majlis penasihat ini terdiri daripada pemain industri yang memiliki kepakaran dalam bidang perfileman dan muzik.
"Namun, kami belum sempat melaksanakan mesyuarat buat kali pertama bagi membincangkan isu industri memandangkan majlis penasihat ini baru sahaja ditubuhkan dua bulan lalu.
"Harapan saya usaha baik dalam memartabatkan industri filem dan muzik dapat diteruskan oleh kepemimpinan baharu, termasuk mengekalkan penubuhan majlis penasihat ini.
"Ini bagi membolehkan kami membentangkan inisiatif yang boleh dilaksanakan kerajaan demi kebaikan industri filem dan muzik," jelasnya.
Pada 19 Julai lalu, Kabinet meluluskan penubuhan PIMM sebagai badan bertanggungjawab menjaga kepentingan industri muzik, buat kali pertama dalam sejarah.
Ketika itu, Menteri, Datuk Saifuddin Abdullah mengumumkan penubuhan PIMM yang bakal meletakkan ekosistem industri muzik kepada tiga bahagian utama iaitu penghasilan, persembahan dan pendidikan.
Bagaimanapun, status penubuhan PIMM 'tergantung' selepas berlaku perubahan struktur pentadbiran Kementerian Komunikasi dan Multimedia apabila Saifuddin bertukar ke Kementerian Luar dan digantikan Annuar.