Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36

Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36

BERITA ABPBH

Scha Elinnea sedia 'dibida'

05 Jun 2022 | Farihad Shalla Mahmud

KUALA LUMPUR: Tanpa angin, tanpa ribut, tiba-tiba timbul cerita pelakon sensasi, Scha Elinnea, 23, terjerumus ke lembah hitam gara-gara kekhilafan diri.

Hanya kerana kedegilan, naif dan terlalu percaya pada lelaki, bintang yang terkenal dengan imej seksi ini dijual untuk dijadikan pelayan khidmat pelanggan atau GRO.

Meremang bulu roma saat mendengar perkhabaran itu kerana meskipun sering berpakaian seksi dan memuat naik foto beraksi sensual di laman Instagram (IG), namun, agak mustahil untuk Scha memilih jalan hitam ketika namanya sedang hangat mendaki populariti.

Tunggu dan jangan cepat membuat andaian kerana pekerjaan GRO yang tersebar itu hanyalah sekadar watak Raina Badrina yang dijayakannya dalam drama rantaian berjudul Kerana Aku Isteri Bidaan untuk siaran slot Samarinda di TV3.

"Dalam drama ini, saya memegang watak Raina, anak tunggal dan seorang gadis kampung. Raina sangat manja dengan ibunya, namun, dalam masa sama, degil.

"Raina mempunyai teman lelaki dan sering keluar bersama hingga lewat malam. Suatu hari, Raina terpengaruh dengan hasutan teman lelaki dan melarikan diri ke kota.

"Kemudiannya dijual untuk dijadikan GRO. Dari situ, karakter Raina berubah. Daripada seorang berjiwa manja, namun, perlu kental kerana menjadi GRO. Dalam masa sama, mahu mempertahankan maruah," cerita Scha kepada BH Online.

Scha bergandingan dengan Hisyam Hamid menerusi drama Kerana Aku Isteri Bidaan yang disiarkan menerusi slot Samarinda di TV3. - Foto IG Scha Elinnea
Scha bergandingan dengan Hisyam Hamid menerusi drama Kerana Aku Isteri Bidaan yang disiarkan menerusi slot Samarinda di TV3. - Foto IG Scha Elinnea

Meskipun membawakan watak gadis peneman dan memerlukannya berpakaian seksi, namun, pemilik nama lengkap, Nur Azleen Natasha Mohamed Mubeen mengakui, penampilannya tidak keterlaluan dan masih menjaga batasan.

"Tak dinafikan, memang ramai sudah sedia maklum penampilan saya memang seksi. Tetapi, untuk drama ini, imej seksi hanyalah untuk disesuaikan dengan karakter GRO dan bekerja di kelab malam.

"Sejauh mana keberanian saya untuk tampil seksi dalam drama ini, apa yang boleh dikatakan ia tetap ada batasan.

"Dalam hal ini, saya memang tidak boleh nak tutup mulut orang. Apa yang dipaparkan bersangkut paut dengan tanggungjawab kerja sebagai pelakon.

"Jadi, terpulanglah pada mereka untuk menilai. Mana yang faham, fahamlah," katanya yang bergandingan dengan Hisyam Hamid menerusi drama arahan Ayie Mustafa dan Rahim Zali itu.

Pada Oktober tahun lalu, pelakon dan model ini mengakui, berdepan masalah gangguan mental kronik berikutan penyakit kemurungan teruk yang dialami.

Scha bersyukur tahap kesihatan mental disebabkan penyakit kemurungan dialami berada dalam keadaan terkawal. - Foto IG Scha Elinnea
Scha bersyukur tahap kesihatan mental disebabkan penyakit kemurungan dialami berada dalam keadaan terkawal. - Foto IG Scha Elinnea

Mengulas tahap kesihatan mentalnya, Scha meluahkan rasa syukur kerana semuanya berada dalam keadaan terkawal.

"Tahap kesihatan mental dalam keadaan baik, walaupun masih bergantung dengan pengambilan ubat-ubatan. Malah, saya juga sudah tidak perlu berjumpa pakar psikiatri, setiap minggu seperti yang dilakukan sebelum ini.

"Sesekali adalah juga berlaku gangguan mental, tetapi tidak teruk. Cuma, apabila berlaku gangguan, sedikit sebanyak dapat membantu saya sebagai pelakon.

"Contohnya, apabila melakonkan babak sedih, jika babak sedih dalam 20 peratus, ia akan jadi 70 peratus," ujar pelakon kelahiran negeri Cik Siti Wan Kembang ini.

Sementara itu, mengulas pertanyaan mengenai dakwaan dirinya anak emas TV3 apabila wajahnya kerap menghiasi drama yang disiarkan di stesen itu, pelakon drama Sitik Tok ini menafikan perkara itu.

"Saya bukanlah anak emas seperti disangkakan. Kekerapan saya membintangi drama diterbitkan siaran TV3 itu dianggap sebagai rezeki. Terima kasih kepada TV3 kerana memberi kepercayaan kepada saya.

"Insya-Allah, akan ada beberapa projek bersama TV3 akan menyusul. Mungkin ada yang tidak tahu pembabitan saya dalam projek membabitkan saluran ini kerana saya bernaung di bawah pengurusan mereka," ujarnya.