Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 35
Undi selebriti pilihan anda mengikut kategori ABPBH yang
telah dipertandingkan pada tahun ini
KUALA LUMPUR: Beberapa bulan lalu, kecoh kemesraan dan keintiman penyanyi Farisha Iris dengan pelakon kontroversi, Niezam Zaidi.
Namun, empunya badan tetap bermain tarik tali, hanya menyatakan hubungan sekadar teman rapat. Namun, timbul persoalan apabila selalu berkongsi video momen manis bersama dalam media sosial.
Bagaimanapun, video Farisha mendedahkan baru putus cinta dengan teman lelaki yang digambarkan ingin bertaubat tular, baru-baru ini.
Nama bekas teman lelaki dikatakan bermula dengan huruf 'N'. Justeru, ramai meneka 'N' yang dimaksudkan adalah Niezam.
Menguatkan spekulasi hubungan Farisha dan Niezam apabila mereka dilihat hadir bersama pada majlis tayangan perdana filem Remp-it 2 lakonan Niezam, baru-baru ini.
Niezam berkata, dia suka mengajak rakan artis menemaninya ke tayangan perdana filem.
"Selain Farisha, ada juga rakan lain seperti Syazwan Zulkifly dan Kodi Rasheed turut serta. Saya dan Farisha berkawan seperti biasa sejak dahulu. Kami tak pernah 'declare' apa-apa pun.
"Saya selesa berkawan dengan Farisha. Bila kita faham hati ini milik Allah, saya tidak kisah orang nak cakap apapun. Apa yang pasti, hati saya juga milik Allah. Jika ada jodoh, adalah...
"Namun, buat masa sekarang, kami fokus pada agama, keluarga dan kerjaya. Kalau ada acara begini, saya ajak Farisha, dia pun sudi menemani saya," katanya kepada BH Online.
Mengulas berita mengatakan sedang mendalami agama dan berhijrah, Niezam berkata, dirinya sedar manusia tidak baik dan pendosa, jadi lebih afdal melakukan benda baik.
"Saya benci pembuat maksiat, jadi takkan saya nak buat maksiat juga.
"Apa yang kita buat akan disoal, jadi lebih baik saya mendekati agama.
"Saya ada ibu yang sedang sakit, jadi ada masanya saya melihat diri sendiri dan bertanya, berapa lama saya boleh berjasa kepada ibu,
"Bila ada 'turning point' yang berlaku dalam hidup, saya mahu berubah kerana Allah, tak boleh ikut kepala sendiri. Alhamdulillah, semuanya baik-baik sahaja sekarang," katanya.
Niezam atau nama sebenarnya, Mohd Niezam Mohd Zaidi berkata, sebelum ini, ada yang mengajaknya menyertai jemaah tabligh, tetapi memilih tabligh bersama kumpulan Bangladesh.
"Saya tidaklah terlalu ekstrim kerana risau orang luar akan salah faham. Saya juga masih meneruskan kerjaya sebagai pelakon," katanya.
Mengulas berdepan kontroversi dan kini, dilihat aktif semula dalam dunia lakonan, pelakon kelahiran Ipoh, Perak itu berkata, dia sukar menerima keadaan, tetapi sekarang, saya makin reda qada dan qadar.
"Saya percaya ketentuan Allah. Saya tahu ada hikmahnya.
"Jika saya tidak berubah juga, tidak tahulah. Bila kita kuat dan pasangkan niat betul, Allah tunjuk jalan satu demi satu.
"Saya pun tak mahu terlalu memikirkan hal duniawi, sebaliknya lebih kepada akhirat," katanya.
Niezam berkata, dia bersyukur masih diberi ruang dan kepercayaan.
"Selepas keluar dari 'tempat belajar', saya jumpa dengan orang kuat TV3.
"Saya diberitahu, nama saya tidak disenarai hitam. Ia membuatkan hati saya tersentuh.
"Alhamdulillah, ini rezeki yang Allah kurniakan. Kalau bukan rezeki saya, kalau minta macam mana pun, saya tak akan dapat," katanya.