KUALA LUMPUR: Empat single, beberapa program realiti televisyen (TV) dan pengalaman bernaung di bawah syarikat rakaman belum cukup untuk membawa penyanyi Fatin Faishal ke tahap kerjaya diimpikan.
Malah, selepas bertahun-tahun berusaha membina nama dalam industri muzik, Fatin pernah hampir mengucapkan selamat tinggal kepada dunia nyanyian apabila merasakan segala pengorbanan belum membuahkan hasil seperti diharapkan.
Namun, setiap kali pintu untuk mengalah dibuka, peluang baharu pula datang mengetuk, seolah-olah mengingatkan dirinya bahawa perjalanan seni belum berakhir.
Fatin atau nama sebenarnya, Nurfatin Najwa Mohd Faishal, 30, mengakui pernah melalui fasa hilang keyakinan sehingga mempersoalkan sama ada bidang nyanyian benar-benar sesuai untuknya.
Ini kerana selepas melancarkan empat single, bernaung di bawah syarikat rakaman dan menyertai beberapa program realiti TV termasuk musim kedua Lagu Cinta Kita terbitan TV3 serta All Together Now Malaysia terbitan Astro, dia merasakan usahanya masih belum cukup.
Penyanyi yang mula bertapak dalam industri muzik sejak 2019 itu juga pernah berasakan tidak perlu memaksa diri meneruskan sesuatu yang mungkin bukan rezekinya.
"Memang pernah rasa mahu mengalah. Saya sudah keluarkan empat single, sertai program realiti dan buat macam-macam perkara, tetapi masih belum dapat hasil diharapkan.
"Ada ketika saya terfikir mungkin bidang nyanyian ini bukan untuk saya. Saya tertanya-tanya mengapa perlu paksa diri buat sesuatu yang mungkin bukan rezeki saya?
"Namun, setiap kali terfikir mahu berhenti, pasti ada pula orang hubungi dan tawarkan saya buat persembahan. Daripada situ, saya fikir semula, mengapa perlu mengalah? Saya sudah bermula dan masih ada peluang untuk meneruskan apa yang diminati," katanya ditemui pada majlis BANGKIT: Bakat Yang Tak Pernah Padam – Kempen CSR Apresiasi Bakat Seni di sini, baru-baru ini.
Mengimbas perjalanan kerjaya, Fatin berkata, antara pencapaian paling bermakna ialah apabila lagu Kita Sama ciptaan Amylea Azizan mendapat putaran di beberapa stesen radio, sekali gus membolehkannya meraih Anugerah Artis Baru Baek ERA 2021.
Lagu berkenaan turut dipilih sebagai muzik latar beberapa drama TV, sekaligus membuka ruang untuk namanya lebih dikenali pendengar.
Bagaimanapun, momentum yang mula dibina ketika itu tidak dapat diteruskan apabila pandemik COVID-19 melanda negara, lalu mengehadkan peluangnya menjalankan aktiviti promosi bersama media dan stesen televisyen.
"Ketika itu, sebenarnya, saya rasa antara fasa terbaik dalam kerjaya kerana lagu Kita Sama mendapat putaran radio dan saya menerima Anugerah Artis Baru Baek ERA.
"Saya fikir ketika itulah sepatutnya saya perlu lebih aktif menghasilkan lagu baharu dan mempergiat promosi. Namun, COVID-19 berlaku dan peluang untuk melakukan pemasaran bersama media serta TV sangat terhad.
"Selepas mendapat anugerah itu, perjalanan kerjaya saya seolah-olah terhenti setakat itu sahaja. Saya tidak jangka keadaan akan berlaku begitu," katanya.
Sepanjang bergiat dalam bidang nyanyian, Fatin turut berpeluang bekerjasama dengan beberapa komposer dan penerbit berpengalaman menerusi lagu Sekaliku Bicara ciptaan Allahyarham Zul Mahat dengan lirik dihasilkan Aucu, Kita Sama (ciptaan Amylea Azizan), Rasa dan Waktu (ciptaan Aiman Zaidi dan Barr Hadif) serta Doktor Cinta (ciptaan Shazee Ishak dan Audi Mok).
Biarpun menghargai peluang bekerjasama dengan nama besar industri muzik, Fatin tidak menafikan kekurangan daripada pihaknya sendiri turut menyumbang kepada perjalanan kerjaya yang tidak berkembang seperti diharapkan.
Tidak mahu menuding jari kepada mana-mana pihak termasuk bekas syarikat rakaman, dia mengakui terlalu bergantung kepada pihak pengurusan untuk menggerakkan promosi sehingga kurang memberi perhatian kepada usaha memperkenalkan bakat sendiri.
"Walaupun berada di bawah syarikat rakaman, kita tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada mereka. Diri sendiri juga perlu berusaha mempromosikan bakat dan kerjaya.
"Mungkin ketika itu, saya masih muda dan mengambil mudah perkara berkenaan. Saya sudah ada lagu, bernaung di bawah syarikat rakaman dan sertai program realiti, tetapi, tidak benar-benar berusaha pasarkan diri sendiri.
"Jadi, saya tidak mahu salahkan mana-mana pihak kerana saya percaya setiap pihak ada kekurangan masing-masing," katanya.
Dalam tempoh memperlahankan aktiviti seni, Fatin tidak hanya menumpukan perhatian kepada perniagaan sendiri, malah turut membantu menguruskan perniagaan teknologi maklumat (IT) milik ibunya yang terbabit dalam urusan tender kerajaan. Antara khidmat diberi termasuk penyediaan pusat data, sistem kamera litar tertutup (CCTV) dan pelbagai lagi.
Fatin juga mengusahakan perniagaan minyak wangi serta tudung, sekali gus menjadikan bidang nyanyian sebagai kerjaya kedua buat masa ini.
Justeru, penyertaan dalam program BANGKIT dianggap peluang untuk membuka semula lembaran perjalanan seninya, selain membina keyakinan dan menggerakkan sendiri usaha mempromosikan kerjaya muzik.
"Saya tidak sangka terpilih menyertai program ini. Peluang diberi membuatkan saya sedar masih ada ruang untuk memperkenalkan semula bakat dan kerjaya muzik kepada masyarakat.
"Saya juga tidak pernah benar-benar melupakan minat terhadap nyanyian. Dengan sokongan keluarga, terutama ibu bapa, saya percaya usaha yang berterusan mungkin akan membuka jalan kepada rezeki yang lebih baik," katanya.
Fatin turut merancang melancarkan single baharu hasil ciptaan sendiri yang kini dalam peringkat perancangan bersama bapanya.
Bagaimanapun, tambahnya, pemilihan komposer dan proses rakaman masih belum dimuktamadkan. Namun, dia berharap projek berkenaan dapat direalisasikan dalam masa terdekat.
"Saya dan abah memang selalu berbincang mengenai muzik. Untuk single baharu ini, saya sudah ada perancangan bersama abah, cuma belum pilih komposer dan mulakan proses rakaman.
"Insya-Allah, saya harap semuanya dipermudahkan dan dapat disiapkan dalam masa terdekat," katanya.